Jumaat, Jun 19, 2009

Tokoh Penulis Kelantan » Dato' Yusof Zaky Yaacob ( 1928 - 1999 )

Tokoh ini termasuk seorang pengarang, penterjemah dan sekaligus penerbit buku yang sangat dikenali di Malaysia pada separuh abad ke 20. Karya-karyanya bukan sahaja mengenai agama, tetapi juga merangkumi politik, psikilogi, kritik sosial malahan genre sastera (puisi dan novel).
Lahir di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu pada 13 Jun 1928, Yusof Zaky ialah anak kepada seorang ulama' Kelantan yang sangat terkenal; Tuan Guru Haji Yaacob Lorong Gajah Mati. Selepas menerima pendidikan awal daripada ayahnya sendiri, beliau belajar di Jami' Merbau al-Asmaili, dengan pada masa-masa senggang, berguru kepada Tuan Guru Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Maulana Tok Khurasan dan lain-lain. Pada 1949, beliau berangkat ke Mesir untuk mempelajari ilmu sosiologi dan psikologi di sebuah universiti yang sangat bergengsi - American University.
Pulang dari Mesir dengan sebuah cita-cita bulat- menjadi pengarang. Dengan cita-cita ini beliau mula menubuhkan syarikat percetakannya sendiri - Pustaka Dian Press - pada Mac 1957 bagi tujuan mencetak dan menerbit sendiri buku-buku karangannya. Pada bulan Julai 1961, beliau menerbitkan majalah Dian, dan kemudiaanya pada 1965, menerbitkan pula majalah Santajiwa.
Tulisan-tulisan beliau sangat tajam dan memikat. Selain padat dan berbobot, tulisan beliau juga segar dan indah dengan gaya bahasa dan susunan katanya yang menarik. Lihat misalnya siri tulisan beliau di bawah tajuk "Mikroskop Dian" dan siri terjemahan cerpen dunia yang sangat mendapat tempat di hati pembaca pada era 1960an dan awal 1970an.
Puncak kerjayanya dicapai apabila beliau berjaya menterjemahkan secara lengkap karya Sayyid Qutb "Fi Zilal al-Quran" ke dalam Bahasa Melayu dengan judul "Di Bawah Naungan al-Quran". Kitab tafsir yang kemudiannya terbit dalam 17 jilid yang dikerjakan dengan tekun dalam tempoh 11 tahun ini merupakan antara sumbangan besar beliau dalam bidang persuratan Islam di Malaysia menjelang saat-saat kematiannya pada pagi hari raya Aidil Fitri 1419 (bersamaan 19 Januari 1999).
Antara karya tulisan beliau (asli dan terjemahan) ialah Menuju Revolusi Islam (1953), Psikologi Remaja (1955), Dari Rahim ke Dunia (1957), Falsafah Qiamat (1958), Air Mata Abdi (1958), Mencari Kejernihan Jiwa (1959), Erti Surah al-Baqarah, Prinsip-Prinsip Ilmu Masyarakat (1959), Psikologi Kanak-Kanak (1960), Psikologi Takut (1965), Ilmu Jiwa (1970), Langkah-Langkah Menuju Allah (1971), Salah Faham Terhadap Islam (1978), Kamus Nama-Nama Indah (1978), Masalah Imam Makmum, Roh Ibadat Solat (1979), Khulasah Ibadat Haji, Seribu Satu Masalah Jiwa Manusia (1986), Batu-Batu Pedoman Perjuangan Islam (1988), Memahami Jiwa Manusia (1996) dan lain-lain lagi. Dalam bidang sastera, beliau banyak menterjemah cerpen-cerpen dari tokoh-tokoh penulis timur dan barat untuk majalah Dian dan Santajiwa, di samping beliau juga dikenali sebagai penulis puisi yang berbakat di bawah nama samaran "Saujana", dan penulis novel sindiran yang tak sempat disiapkan berjudul "Komidi Syaitan".

Sumber : http://www.kelantan.edu.my/tokoh.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan