Jumaat, Jun 19, 2009

Tokoh Mufti Kelantan » Dato' Haji Ismail bin Yusuff

Tokoh kedua paling singkat memegang jawatan Mufti selepas Haji Wan Ishak. Beliau ditakdirkan lebih lama memegang jawatan Timbalan Mufti (mulai 15hb.Oktober 1979 hingga 31hb.Mac 1987), iaitu selama 8 tahun sebelum dilantik menjadi Mufti pada 1hb.April 1987.
Dilahirkan di Kampung Gong Kemuning, Pasir Puteh pada tahun 1915, ayah beliau, Haji Yusuff bin Muhamad Diah ialah seorang Bilal di kampung berkenaan. Mendapat pendidikan agama asas di Pondok Haji Mohamad bin Haji Omar (abang kepada Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal) di Kampung Gong Kemudu, sebelum berpindah ke Pondok Kenali dan pengajian halaqah di Masjid Muhamadi Kota Bharu. Selain Tok Kenali, guru-guru beliau termasuklah Haji Asaad Kangkung, Haji Ahmad Manan, Haji Ahmad Maher, Haji Yaakub Lorong Gajah Mati, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Yaakub Legor dan lain-lain.Pada tahun 1937 belaiu berangkat ke Mekah, berguru dengan tokoh-tokoh seperti Syeikh Ali al-Maliki, Syeikh Mohamad al-Arabi, Syeikh Hassan Massyat, Syeikh Amin al-Kutubi, Syed Alawi, Syeikh Ibrahim al-Fatani, Syeikh Hassan al-Yamani, Syeikh Nuh Jamaludin al-Kelantani, Syeikh Hassan al-Falimbani dan lain-lain.
Pulang ke Kelantan pada tahun 1947. Dua tahun kemudian, beliau menjadi guru di Jami' Merbau al-Ismaili, Kota Bharu sebelum berkhidmat sebagai Pendaftar merangkap Setiausaha kepada Mufti Kelantan, Dato' Haji Mohd. Nor Ibrahim pada 1969. Mulai 15hb.Oktober 1979, beliau dilantik ke jawatan Timbalan Mufti, menjadi orang pertama menyandang jawatan berkenaan selepas diwujudkan pada 1979.
Dato' Haji Ismail aktif dalam banyak bidang. Beliau termasuk antara tenaga yang mengasaskan penubuhan Maktab Perguruan Islam di Jalan Bayam Kota Bharu (sekarang Maktab Pengajian Islam) serta menulis buku-buku agama, terutama dalam bidang hadith. Pada waktu beliau meninggal dunia, terdapat sejumlah 15 buah karya tulisannya yang telah dicetak dan diterbitkan. Selain itu, beliau pernah menjadi Pengarang Pengasuh pada tahun 1964-1965.
Meninggal dunia pada petang hari Sabtu, 9hb.Julai 1988 di rumahnya di Kampung Sireh, Kota Bharu.

Sumber : http://www.kelantan.edu.my/tokoh.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan