Ahad, Oktober 31, 2010

Piala Malaysia jelajah Kelantan



Tarikh 1 November 2010 pada hari ini, bakal menjadi detik bersejarah dalam dimensi bola sepak Kelantan apabila buat pertama kalinya, Piala Malaysia yang dimenangi oleh pasukan The Red Warriors akan menjejaki bumi negeri Kelantan Darul Naim.

Sambutan besar-besaran dijangka menanti kepulangan barisan wira pasukan Kelantan, yang gah menjulang trofi Piala Malaysia buat pertama kali sejak 89 tahun lalu dan dijangka tiba di ibu negeri, Kota Bharu petang ini.

Bukan melalui jalan laut, bukan juga jalan udara tetapi piala keagungan bola sepak negara itu, akan mengharungi perjalanan jalan darat sejauh hampir 500 kilometer dan selama hampir 12 jam bermula dari Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, hotel penginapan pasukan Kelantan sebelum dijadualkan tiba di Kota Bharu pada jam 6.30 petang ini.

Sabtu, Oktober 30, 2010

Kelantan Juara Piala Malaysia 2010









Sejarah tercipta dan dendam terbalas, malah temasya besar berhak dirayakan oleh Kelantan apabila menjulang anugerah berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia buat kali pertama setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir edisi ke-84,

Malah Wira Merah mengakhiri penantian yang sekian lama selepas dihampakan dalam perlawanan akhir 1955, 1970 dan tahun lalu sekali gus mengekori Perak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan sebagai 11 negeri pemilik Piala Malaysia sejak 1967.

Gegak gempita sorakan serta dentuman mercun melanda Stadium Nasional, Bukit Jalil yang menyambut kejayaan skuad bimbingan B. Sathianathan menebus kehampaan 3-1 kepada lawan dan di gelanggang sama tahun lalu, hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badri Radzi.

Kejayaan manis ini bertambah ceria lagi bila mana kerajaan Kelantan mengisytiharkan hari ini 31 Oktober 2010 sebagai cuti umum peristiwa buat seluruh negeri Kelantan sebagai meraikan kejayaan bersejarah skuad Wira Merah.

Jumaat, Oktober 29, 2010

TM Piala Malaysia 2010 : Kelantan Lawan N.Sembilan



Malam 30 November merupakan detik penentuan sama ada Kelantan mampu merangkul piala paling berprestij edisi kali ke 84. Buat pemain Kelantan, inilah masanya untuk menjulang kejuaraan setelah pada musim lalu dikecewakan oleh lawan yang sama di peringkat akhir. Untuk pemain Kelantan, diucapkan selamat berjuang dan diharap kegembiraan bakal terukir dalam sejarah bola sepak negeri Kelantan.

Isnin, Oktober 25, 2010

Galas : Siapa Yang Menang



Pilihan raya kecil Galas pada 4 November depan bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS. Barisan Nasional diwakili Abdul Aziz Yusof manakala PAS diwakili oleh Dr Zulkefli Mohamad

Kelantan Juara Piala Agong 2010

Kelantan berjaya mengulangi kejayaan 2005 apabila muncul juara Piala Agong Edisi Ke-28 selepas berjaya menewaskan juara sebelas kali, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 18-14 pada perlawanan akhir

Negeri Cik Siti Wan Kembang membariskan pemain Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) dan beberapa pemain kebangsaan berjaya mengharungi perlawanan akhir yang amat mendebarkan.

Kelantan terlebih dahulu dikejutkan dengan dua try awal pada separuh masa pertama menerusi pemain forward ATM, Mohd Irman Adnan berjaya melakukan try pertama seawal minit ke-3 ketika Kelantan masih tercari-cari rentak permainan.

Menambah derita Kelantan, pemain flanker ATM Ahmad Farhan Azizan menyempurnakan try kedua ATM yang juga hasil gerakan maul yang padu. Forward ATM menolak beramai-ramai benteng forward Kelantan pada minit ke-16 dan menghasilkan jatuhan try.

Mohd Azuwar Hassan menyempurnakan dua tendangan konversi pada minit ke-4 dan minit ke-17 yang menjadikan ATM mendahului, 14-3 pada separuh masa pertama.

Kelantan pula hanya mampu bertahan dan menangkis serangan bertubi-tubi dari forward ATM, pemain flyhalf Kelantan, Mohd Nazreen Fitri Nasrudin hanya berjaya memungut tiga mata awal untuk Kelantan melalui tendangan penalti pada minit ke-9 separuh masa pertama.

Jurulatih Kelantan Che Ahmad Zaini Hussin yang begitu gusar dengan prestasi anak buahnya menukar strategi permainan dengan menghidupkan permainan di barisan tengah.

Pemain Kebangsaan, Mohd Saizul Hafiz Md Noor berjaya merapatkan jurang mata melalui try pertama Kelantan di minit ke-53 dan sekali lagi Kelantan menambahkan jaringan mata melalui pemain flyhalf. Nazreen Fitri Nasrudin yang dengan bijak membuat umpanan dan berjaya membolosi benteng ATM pada minit ke-63 dan melakukan try kedua buat Kelantan.

Nazreen Fitri Nasrudin menambah derita ATM melalui satu tendangan konversi di minit ke-64 dan satu tendangan penalti pada minit ke-74.

ATM cuba bangkit pada lima minit terakhir perlawanan dengan menggunakan taktik forward yang sama namun gagal kerana mudah dipatahkan benteng pertahan lawan.

Petang gemilang Kelantan lebih bermakna apabila, Nazreen Fitri di pilih Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Agong 2010.

Ahad, Oktober 24, 2010

Bukit Jalil Lagi







Kelantan mengulangi kejayaan mara ke perlawanan akhr Piala Malaysia 2010 apabila menundukkan Kedah 1-0 di separuh akhir. Nor Shahrul Idlan Talaha muncul wira Kelantan apabila sepakan sudutnya melencong masuk ke dalam gawang Kedah.Lawan yang bakal ditemui nanti ialah N.Sembilan. Mengulangi final tahun lepas apabila kedua - dua pasukan ini bertemu di perlawanan akhir. Tahniah Red Warrior. Semoga langkahan ke perlawanan akhir ini diakhiri dengan kejayaan menjulang piala Malaysia.

Jumaat, Oktober 22, 2010

TM Piala Malaysia 2010 : Kelantan Lawan Kedah ( Semi Final 2 )



MALAM ini akan menjadi hari penentuan buat Kelantan dan Kedah yang akan membuat perhitungan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

Apa yang pasti, Kelantan ada dua misi penting untuk dilaksanakan pada perlawanan ini.

Pertama, mereka berazam mengulangi sejarah layak ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut -turut dan keduanya untuk membenam Kedah di laman sendiri bagi memadamkan rekod cemerlang sang Kenari di Stadium Sultan Muhammed IV.

Hanya kemenangan yang akan membawa Kelantan ke pentas final kerana jika seri berjaringan akan menyaksikan kelantan berputih mata.

Ayuh warga Kelantan, berikan sokongan padu anda untuk menaikkan semangat juang pemain Kelantan untuk mencatat kemenangan pada malam ini.

Khamis, Oktober 21, 2010

20 Tahun Pas di Kelantan



Samada sedar atau sebaliknya, usia kerajaan PAS Kelantan kini sudah mencapai 20 tahun. Ia merupakan kelansungan pentadbiran Kerajaan Negeri yang berlangsung sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-8 pada 21 Oktober 1990. Hari ini 21 Oktober 2010 maka genaplah 20 tahun usia pentadbiran PAS di Kelantan. Selama itulah juga Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjawat jawatan Menteri Besar Kelantan.

Sepanjang 20 tahun menerajui pentadbiran negeri, telah tersurat bahawa Negeri Kelantan mempunyai identiti yang tersendiri, sementelah telah banyak menerajui dan memimpin perubahan serta mendahului di dalam pelbagai aspek pembangunan. Ia merupakan suatu nilai kejayaan kepimpinan YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Menteri Besar.

Pesta Air Antarabangsa sempena 20 tahun pentadbiran Pas



Sukan Pesta Air Antarabangsa Kelantan 2010 yang bakal berlangsung 28 hingga 30 Oktober ini diisytihar sebagai acara kemuncak perayaan 20 tahun pentadbiran kerajaan Pas di negeri ini.

Pesta tiga hari itu berlangsung di Dataran Sireh, Tesco Kota Bharu, dan dijangka menarik ramai pelancong ke negeri ini.

Sebanyak empat acara yang dipertandingkan antaranya pertandingan perahu panjang Kelantan, pertandingan jet ski antarabangsa dan pertandingan memanjat tiang licin.

Keputusan TM Piala Malaysia 2010 : Kedah 0 - 0 Kelantan (Semi Final 1)





Sama liat sama handal. begitulah kesudahan semi final pertama dimana kedua-dua pasukan buntu menghasilkan gol. Buat Kelantan, 3 pertukaran terpaksa dilakukan dalam masa 13 minit awal permainan ekoran kecederaan beberapa pemain.Jelas pertukaran terlalu awal itu memaksa pemain Kelantan bertungkus lumus menahan asakan pemain Kedah.

Selasa, Oktober 19, 2010

TM Piala Malaysia 2010 : Kedah Lawan Kelantan ( Semi Final 1 )



Ibarat ulangan pertemuan semi final 1993 antara Kedah dan Kelantan. Kedua-dua pasukan mara ke semi final setelah mengenepikan lawan masing-masing di suku akhir. Ayuh rakyat Kelantan, sama-samalah kita memberi sokongan padu kepada pasukan Red Warrior agar langkahan ke final tidak ternoktah setakat ini sahaja.

Isnin, Oktober 18, 2010

Tengku Fa-iz dilantik Tengku Mahkota Kelantan

Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan pewaris takhta kesultanan Kelantan berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang bermesyuarat semalam dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Tengku Muhammad Fa-iz, 36, ialah anakanda kedua Sultan Ismail Petra daripada empat beradik. Dua lagi ialah Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A-Ishah Putri.

Tengku Muhammad Fa-iz yang diputerakan di Istana Kota Lama pada 20 Januari 1974 dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan pada 30 Mac 1989 dan menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak 21 Jun 2009.

Mohd. Aiseri berkata, mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz bakal menjadi raja atau Pemangku Raja apabila baginda Sultan Kelantan berangkat ke luar negara melebihi 12 bulan atau tidak boleh menjalankan tugas sebagai Sultan dalam tempoh berkenaan.

Ahad, Oktober 17, 2010

Pertandingan Ayam Serama ASEAN



Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan akan menjadikan pertandingan ayam serama atau ayam katek sebagai produk baru pelancongan bagi menarik pelancong luar negara, khasnya negara jiran ASEAN ke negeri ini. Ia juga akan dijadikan acara tahunan selain pertandingan wau atau layang-layang peringkat antarabangsa.

Pertandingan ayam serama peringkat negara Asean itu akan diadakan pertama kali di tapak kekal Taman Orkid Tengku Anis, di Jalan Padang Tembak di sini pada 23 Oktober ini.

Seramai 400 peserta memberi persetujuan menyertai pertandingan kecantikan ayam serama itu yang akan dikendalikan Persatuan Peminat Ayat Serama Kelantan. Antara negara ASEAN yang mengesahkan penyertaan ialah Thailand, Singapura dan Indonesia selain peminat ayam serama dari Pantai Barat Semenanjung, khasnya Kuala Lumpur.

Jumaat, Oktober 15, 2010

Keputusan TM Piala Malaysia 2010 : Kelantan 3 - 0 Selangor (Suku Akhir 2)








Pemain Terbaik Perlawanan

Menakjubkan boleh dikatakan dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh pemain Kelantan ketika membenam cabaran Selangor. Akmal Rizal jelas mempamerkan kehebatan beliau yang ditagih selama ini. 1 gol daripada beliau selain masing-masing 1 daripada Norfarhan Muhammad dan Badhri Radzi sudah cukup untuk menutup sisa perjuangan Selangor. Kecekapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi juga banyak menghampakan peluang Selangor. Tahniah Red Warrior.

Khamis, Oktober 14, 2010

TM Piala Malaysia 2010 : Kelantan Lawan Selangor ( Suku Akhir 2 )



Kemenangan 1-0 sudah memadai untuk menjamin tempat buat Kelantan. Masih ada baki 90 minit perlawanan sebelum penentuan pasukan mana layak ke separuh akhir TM Piala Malaysia musim ini akan ditentukan. Harapan peminat sememangnya tinggi. Ayuh pemain Red Warrior, tunjukkan kehandalan anda semua untuk membenam cabaran Selangor. Penyokong berada dibelakang anda semua. Insyaallah Kelantan mampu mara ke semi final.

Rabu, Oktober 13, 2010

Keputusan TM Piala Malaysia 2010 : Selangor 0 - 0 Kelantan (Suku Akhir 1)





Barisan pemain Kelantan berjaya mengekang Selangor dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan hebat yang dicemari insiden pergaduhan penyokong. Kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain apabila Norshahrul Idlan talaha dan P.Gunalan dilayangkan kad merah. dalam perlawanan ini, penjaga gol Kelantan iaitu Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang menafikan percubaan bertali arus pemain Selangor. Sewajarnya dia dinobatkan pemain terbaik perlawanan.Pasukan mana yang akan mara akan ditentukan pada perlawanan kedua nanti dimana Kelantan berkelebihan sebagai tuan rumah manakala Selangor berkelebihan jaringan kerana Kelantan tidak mampu merobek gawang mereka di Shah Alam.

Isnin, Oktober 11, 2010

TM Piala Malaysia 2010 : Selangor Lawan Kelantan ( Suku Akhir )



Pertembungan dua gergasi bola sepak Malaysia ini pasti ditunggu ramai. Apakah kesudahan pertembungan ini akan diketahui bila mana wisel penamat ditiup pengadil perlawanan. Marilah rakyat kelantan penuhi stadium Shah Alam untuk memberi sokongan padu kepada pemain Kelantan seperti mana yang ditunjukkan semasa perlawanan di Kelana Jaya malam sabtu yang lalu.

Lonjak @ mangkuk Tingkat

SUATU pagi, Rahim yang bersahabat dengan Hafiz datang awal dan mula buka cerita mengenai syarikat tempat mereka bertugas ....

Rahim: Semalam aku masuk meeting pengurusan dengan semua manager dan CEO.

Hafiz: Meeting apa tu? Tiba-tiba aje ....
Rahim: Kompeni kita ni ... dah teruk sikit, prestasi kakitangan dah menurun. Yang buat sale tak capai sasaran, yang dah ditempah pulak tak dapat disiapkan dalam tempoh masa. Semua lembap sekarang ni ... bila penghantaran lambat, payment pun sangkutlah!

Hafiz: Eh! Kalau macam tu ... kita macam mana? Patutlah gaji bulan lepas lambat masuk!

Rahim: Nasib baik masuk juga ... kalau tak, alamat tak berasap le dapur!

Hafiz: Tulah! Salah kita juga, kerja tak sungguh-sungguh ... bila jadi macam ni, semua susah! Habis tu, apa tindakan mereka?
Rahim: Mereka dapati kakitangan sering datang lewat, masuk lambat lepas rehat makan tengah hari, balik cepat dan ada juga yang suka missing in action. Kerja pun tak sungguh-sungguh, cincai, asal buat. Pendek kata pakai boh aje le! Tak kurang banyak bersembang dan leka dengan facebook, twitter tanpa mengira waktu hingga matlamat asal kemudahan internet yang disediakan syarikat terbabas! Semua tak ada motivasi dan kreativiti.

Hafiz: Yang lambat masuk lepas rehat tengah hari tu ... tak boleh salahkan staf juga Rahim.

Rahim: Kenapa pulak?

Hafiz: Tempat makan tak ada dekat-dekat sini ... kena pergi jauh, orang pulak ramai! Cari parking satu hal. Berbaris nak makan dan jem masa balik, tu pasallah ramai yang lambat masuk! Tu pengurusan kena fikir juga tu ....

Rahim: Tu pasal mereka nak tubuh unit baru.

Hafiz: Hai! Kata kompeni teruk ... alih-alih nak tubuh unit baru pulak?!

Rahim: Unit ni nak cuba ubah sikap staf ... bagi motivasi sikit!

Hafiz: Unit apa tu?

Rahim: Unit Lonjak ....

Hafiz: Unit Lonjak?! Hah! Aku setuju sangat tu.

Rahim: Aih! Aku belum habis cakap, kau dah setuju?!

Hafiz: Aku memang setuju sesangat! Unit ni bukan hanya boleh elak staf masuk kerja lambat, masuk lepas makan tengah hari lambat, malah boleh elak staf balik cepat. Kalau minta mereka balik, balik lima belas minit lambat pun rasanya mereka tak kisah punya!

Rahim: Eh! Sebenarnya aku dilantik jadi ketua unit ni ... tapi aku tak ada idealah macam mana nak atasi masalah kita ni. Aku tengok kau bukan main lagi suka dengan idea unit ni. Aku sebenarnya masih tak nampak bagaimana unit ni boleh menjadikan staf kita menepati masa. Boleh tolong aku bagi idea tak?

Hafiz: Isy! Apasal tak boleh pulak?! Memang bagus idea penubuhan unit ni, aku sokong seratus peratus dan aku akan bantu kau!

Rahim: Terima kasih banyaklah, nasiblah ada kawan yang nak tolong ... masa mereka lantik aku tu, risau betul rasanya sebab tak tau nak buat macam mana. Sekali lagi aku ucap terima kasih ... sedia bantu aku, ... nanti aku lantik kau jadi ahli unit ni ....

Hafiz: Alah! senang aje ... yang mustahak sekali adalah menu, menu kena tiap hari , kalau nak ulang pun, paling cepat dua minggu. Kemudian harganya kena murah, ataupun dapat subsidi ... kalau kompeni sponsor lagi bagus! He he he he ....

Rahim: Eh! Hafiz ... kau merapu apa ni? Kita sekarang bincang macam mana nak tingkatkan prestasi staf ... kau pergi sembang pasal menu pulak ni kenapa? Kita bukan nak buka restoran!

Hafiz: Kan ke unit ni akan sediakan makanan kepada staf supaya mereka tak perlu keluar makan dan tak perlu balik cepat, sebab makanan malam pun akan disediakan ... boleh bawa balik lagi untuk keluarga!

Rahim: Hey! Kenapa kau kata macam tu hah?! Tak kena-mengena langsunglah dengan unit ni!

Hafiz: Apa pulak tak kena-mengenanya? Kan ke unit ni akan sediakan lonjak untuk semua orang?

Rahim: Sediakan lonjak? Kau sebenarnya tau ke apa Unit Lonjakan Prestasi ni?

Hafiz: Apasal tak tau pulak? Sediakan lonjaklah untuk semua staf supaya staf senang makan, tak perlu pergi ke luar lagi. Eh! Aku nak tolong kaulah, kenapa kau marah pulak ni?

Rahim: Lonjak ni apa sebenarnya Fiz?

Hafiz: Lonjaklah! Mangkuk tempat isi makanan, tempat isi lauk dan nasi yang bertingkat-tingkat tu. Kan ke kau disuruh bos sediakan makanan untuk semua orang?

Rahim: Hoi! Itu mangkuk tingkatlah! Bukannya lonjakan! Tulah tadi aku nak terangkan lebih lanjut kau dah potong, terus setuju aje walaupun aku belum habis cakap. Unit ni bukan sediakan makanan, tapi untuk melonjakkan prestasi ... meningkatkan prestasi!! Aku diminta sediakan program-program yang boleh memberi semangat kepada staf untuk meningkatkan prestasi kerja dan kreativiti supaya syarikat dapat maju dan berkembang dan kita semua tak kena buang kerja! Sekarang faham tak!! Buang masalah sembang dengan kau ni ....

Hafiz: Laa ... mana aku tau camtu pulak ... kalau tempat aku, lonjak tu maknanya mangkuk tempat isi makanan yang boleh bawa berjalan tu, tempat bekal ... eh! Kalau macam tu, kau cari orang lain le masuk unit kau tu ....

Rahim: Dah agak dah ....

Glosari
Lonjak -
(i) perbuatan melompat ke atas
(ii) dorongan atau desakan yang kuat untuk capai sesuatu
(iii) (Kelantan) mangkuk tingkat.

Sabtu, Oktober 09, 2010

Keputusan TM Piala Malaysia 2010 : KL Plus 0 - 4 Kelantan








Pemain Terbaik Perlawanan : Norshahrul Idlan Talaha

Persembahan menakjubkan dipamerkan pemain Kelantan. Kemenangan 4-0 diraih hasil jaringan Badhri Radzi, Norshahrul Idlan Talaha -2 gol dan Rizal Fahmi Rosid. Kelantan melangkah ke suku akhir bagi bertemu dengan juara kumpulan d iaitu Selangor. Satu tugas berat namun saya yakin berdasarkan persembahan yang ditunjukkan semasa melawan Kl Plus , pemain Kelantan mampu mengejutkan skuad gergasi lembah Kelang itu. Insyaallah.

Jumaat, Oktober 08, 2010

TM Piala Malaysia 2010 : KL Plus Lawan Kelantan



Perlawanan penentu sama ada Kelantan mampu menewaskan KL Plus dan seterusnya mengiringi N.Sembilan ke suku akhir atau perjuangan terhenti setakat peringkat kumpulan sahaja. Congakan atas kertas ,Kelantan mampu mara kerana hanya memerlukan seri sahaja dengan kebarangkalian PKNS tidak mampu menewaskan N.Sembilan dengan jurang sehingga 8 gol. Ini kerana Kelantan berkelebihan jurang gol sebanyak 4 manakala PKNS negatif 4 gol. Walaubagaimanapun, jalan selamat Kelantan perlu menewaskan KL Plus untuk melangkah dengan bergaya. Ayuh warga Kelantan terutamanya yang menetap di Lembah Klang agar hadir memberi sokongan padu kepada pemain Red Warrior ini.

Khamis, Oktober 07, 2010

Keputusan TM Piala Malaysia 2010 : Kelantan Lawan PKNS 4 - 0







Alhamdullillah.. Kemenangan yang dicari terhasil jua dengan ledakan 4 gol tanpa balas. tahniah Red Warrior.

Selasa, Oktober 05, 2010

Ayam Goreng Edlee



Jika anda berada Kota Bharu, Kelantan, pasti anda akan tahu mengenai Edlee Fried Chicken. Edlee Fried Chicken diusahakan oleh Encik Mohd Edlee bin Ismail.

Perniagaan Edlee Fried Chicken bermula sejak tahun 2003 yang didaftarkan sebagai Edlee Food Services. Sekarang Edlee Fried Chicken mempunyai 6 cawangan di seluruh Kelantan(di Jalan Pekeliling, Taman Indra Petra, Tanjong Chat, Wakaf Che Yeh, berhampiran pasaraya Bilal dan berdekatan dengan Perodua Tunjong). Kesemua gerai beroperasi di Kota Bharu dan akan dikembangkan ke seluruh negeri dalam waktu terdekat.




Ironinya perniagaan Edlee Fried Chicken bermula di pasar malam sekitar Kota Bharu sebelum berkembang secara jualan kios. Antara menu yang disediakan ialah mashed potato, coleslaw, mushroom soup, french fries, and pelbagai jenis minuman dan juga sedia menerima tempahan.

TM Piala Malaysia 2010 : Kelantan Lawan PKNS



Tiada keputusan lain selain daripada kemenangan bakal menjamin langkahan Kelantan tidak terhenti setakat kumpulan sahaja. Marilah kita sama-sama memberi sokongan padu kepada pasukan kebanggaan rakyat Kelantan ini. Semoga kemenangan yang diidamkan dapat direalisasikan oleh pemain.

Isnin, Oktober 04, 2010

Keputusan TM Piala Malaysia 2010 : N.Sembilan 2 - 2 Kelantan







Tahniah Red Warrior kerana mampu bangkit daripada ketinggalan 2 gol untuk mencatat keputusan seri 2-2. Jaringan Zairul Fitri Ishak dan Akmal Rizal Rakhli amat berharga sekali. Tahniah.. teruskan usaha memburu kemenangan.

Sabtu, Oktober 02, 2010

TM Piala Malaysia 2010 : N.Sembilan Lawan Kelantan



Misi memburu 3 mata untuk meneruskan perjuangan ke suku akhir TM piala Malaysia 2010. Ayuh pemain Kelantan, tunjukkan kemampuan sebenar anda untuk menundukkan ego skuad N.Sembilan di Paroi seperti mana yang telah dilakukan dam saingan liga super yang lalu dimana Kelantan berjaya menewaskan N.Sembilan 3-1.