Rabu, September 30, 2009

TM Piala Malaysia 2009 : Video



Peminat Kelantan Minta KAFA Bendung Ulat Tiket


KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) -- Peminat bola sepak Kelantan meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) segera membendung masalah "ulat tiket" yang mengambil kesempatan menjual tiket pada harga tinggi seperti perlawanan antara Kelantan dan Kedah di sini, malam Selasa.

Ulat tiket itu dikatakan memborong habis-habisan tiket tempat duduk berbumbung yang sepatutnya dijual pada kadar harga RM20.

"Ulat itu menjual pula kepada kami pada kadar harga RM30 dan RM35 untuk sekeping tiket yang mahu tidak mahu kami terpaksa membeli apabila diberitahu tiket tempat berbumbung sudah habis dijual.

"Yang kami hairan kenapa tiket tempat berbumbung dilaporkan habis dijual dalam tempoh tidak sampai sejam tetapi tiket di tempat terbuka masih banyak?" kata Azrul Shah Shahrim, 37, kepada Bernama.

Beliau, yang datang awal pada pukul 1.45 petang, tetapi disebabkan kaunter tiket masih belum dibuka datang semula sejam selepas itu dan dimaklumkan penjual bahawa tiket di tempat berbumbung sudah habis dijual.

Memandangkan ketika ini musim hujan, beliau akhirnya terpaksa mendapatkan tiket daripada ulat pada harga RM30.

"Saya lihat ulat tiket banyak berkeliaran di depan kaunter bagi menawarkan tiket di bahagian berbumbung itu dan kerana memikirkan hujan pada hampir setiap malam, saya terpaksa membeli pada harga tinggi itu," katanya.

Seorang rakannya, Zaharmin Sulung, 37, meminta KAFA menghadkan penjualan tiket itu kepada sekurang-kurangnya dua tiket kepada seorang pembeli.

"Kalau jual secara borong oleh seorang pembeli menyebabkan berlakulah keadaan macam ini sehingga menyukarkan peminat mendapatkan tiket yang akhirnya terpaksa mendapatkannya daripada ulat (tiket)," katanya.

Lebih 15,000 peminat bola sepak Kelantan memenuhi Stadium Sultan Muhamad Ke-IV di sini malam tadi yang menyaksikan Kelantan menang tipis 1-0 menewaskan juara bertahan Kedah dalam Kumpulan E.

Gol tunggal itu dijaringkan penyerang sensasi Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-49 melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Sentuhan Indra tambah derita Kedah


KELANTAN terus membuktikan mengapa mereka harus menjadi pilihan dalam saingan Piala Malaysia apabila melebar rentak gemilang buat kali kedua, kali ini dengan menjadikan penyandang juara, Kedah sebagai mangsa dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Muhamad IV, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Kelantan menghuni tangga teratas Kumpulan E dengan enam mata selepas anak buah B Sathianathan menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Bandaraya pada perlawanan pertama.

Indra Putra Mahayuddin, kapten baru pasukan berkenaan menggantikan Badri Radzi yang mengalami kecederaan jangka panjang, menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan gol tunggal Kelantan pada minit ke-49 selepas melencongkan bola hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti yang menewaskan Helmi Eliza.

Ketika diminta mengulas mengenai perlawanan itu, Sathianathan menyifatkan aksi dipamerkan pasukannya belum dianggap baik berbanding kemampuan sebenar mereka.
“Kini Kelantan memang dianggap pilihan selepas menang dua perlawanan, tetapi kami belum bermain dengan baik seberapa yang boleh. Pendapat saya, kita boleh main lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Isnin, September 28, 2009

Anak Kelantan Zang Toi Pamer Koleksi Musim Bunga Di New York


NEW YORK, 24 Sept (Bernama) -- Ikon dunia fesyen, anak kelahiran Kelantan, Zang Toi, baru-baru ini memperkenal koleksi musim bunga 2010 yang begitu menarik di ruang pameran beliau di hadapan sekumpulan wartawan dunia fesyen di sini.

Mempamerkan bakat 'haute couture' beliau yang hebat, Zang Toi melahirkan 'koleksi Matador' yang diinspirasikan hasil daripada lawatan beliau ke Sepanyol di mana beliau berkesempatan menyaksikan acara laga lembu.

"Kali ini inspirasi saya ialah dari Sepanyol, daripada apa yang anda dapat lihat dalam reka bentuk koleksi saya yang dipamerkan di sini," Zang Toi memberitahu Bernama di ruang pameran beliau di 57th street di sini, berdekatan dengan Fifth Avenue yang mempunyai sekelompok bilik pameran yang elegan menempatkan produk mewah serta eksklusif pereka fesyen antarabangsa.

Menepati 'citarasa Sepanyol' karya Zang Toi diperagakan oleh model-model jelita yang tinggi lampai berwajah Latin. Ketinggian mereka semakin terserlah dengan kasut tumit tinggi mereka dan para peragawati ini kelihatan anggun mengenakan koleksi matador itu.

Muzik latar yang mengiringi peragawati itu berirama Sepanyol dengan sentuhan rentak Flamenco yang mempunyai nada Andalusia yang terkenal dengan gerak lembut kaki ketika berdansa.

Irama dan alunan muzik sebegini amat sesuai dengan suasana gambaran tentang apa yang mahu dipamerkan oleh koleksi itu.

32 REKA BENTUK

Acara dimulakan dengan peragaan Bolero Matador menggunakan kain kapas ivori Toi House serta kain kapas hitam Capri yang dihiasi tepinya dengan manik hitam Matador dan keseluruhannya Zang Toi mempertonton 32 hasil rekaannya pada majlis itu.

Warna-warna yang digunakan menunjukkan variasi serta 'kehangatan' mereka yang datang dari wilayah di mana inspirasi terhadap koleksi itu muncul.

"Saya juga menggunakan warna merah jambu di atas latar belakang gelap untuk koleksi saya kerana bagi saya warna merah jambu menyerlahkan lagi kecantikan wanita", kata Zang Toi.

Tarikh peragaan fesyen koleksi Zang Toi itu juga mempunyai satu signifikan kerana Zang Toi, yang tiba di Amerika Syarikat melalui Kanada, telah genap 20 tahun di negara beliau mencipta nama sebagai pereka fesyen ternama antarabangsa ini.

"Saya sudah tua", kata beliau, bergurau.

"Saya tidak menyangka bila saya bermula di Parsons School of Design di sini saya akan menjadi begitu berjaya," katanya.

KEJAYAAN ANTARABANGSA

Sering digelar 'eksport Malaysia paling unggul', Zang Toi telah menyemai dan membina kerjayanya sehingga menjadi cerita kejayaan antarabangsa.

Beliau merupakan pereka fesyen kegemaran ramai selebriti Hollywood seperti Sharon Stone, Kirstie Alley, Jennifer Tilly, Meg Ryan dan lain-lain.

"Rekaan (Zang) Toi begitu asli, feminin dan glamor dari semua segi", menurut seorang pelanggan wanita haute couture.

Produk dan rekaan fesyen Zang Toi boleh didapati di gedung-gedung pakaian mewah seperti di bahagian couture di Nordstrom, butik-butik khas serta juga butik Zang Toi di Malaysia.

"Saya mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan koleksi ini termasuk dari mencipta konsep sehingga ke majlis peragaan hari ini," kata Zang toi.

Sementara itu dunia fesyen di sini sedar akan kemunculan pereka-pereka fesyen muda Malaysia yang mahu mencuba nasib memulakan perniagaan di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun dunia fesyen di New York, yang begitu hebat bersaing, sama ada boleh menjadi begitu kejam kepada mereka yang menceburinya ataupun memberikan ganjaran yang amat baik seperti yang dinikmati Zang Toi.

"Nasihat saya kepada mereka yang masih baru dalam dunia ini, hasilkan yang asli daripada cuba meniru karya pereka lain. Keaslian akan begitu memberi makna akhirnya. Bakat dan kerja keras juga akan berbaloi di Amerika Syarikat", kata beliau.

Kehadiran Stefania Fernandez dari Venezuela, Miss Universe 2009, pada majlis itu menambahkan lagi suasana meriah persembahan koleksi Zang Toi. Turut hadir ialah Salahuddin Mohd Ariffin, Naib Presiden Tourism Malaysia di New York.

TM Piala Malaysia 2009 : Kelantan Lwn Kedah


Jom kita pakat gi ramai-ramai ke Stadium Sultan Mohd Ke-iv pada 29 September ni. Pastikan sokongan anda memberikan kejayaan kepada pasukan Kelantan.

Sumber Grafik :http://epiq835.blogspot.com/

Ahad, September 27, 2009

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan


YAB TUAN GURU DATO' HJ NIK ABDUL AZIZ B HJ NIK MAT
PENGERUSI JAWATANKUASA TANAH, PERHUTANAN DAN SUMBER ASLI










YB DATO' HJ AHMAD B HJ YAKOB
PENGERUSI JAWATANKUASA PENTADBIRAN AWAM, PEMBANGUNAN TANAH DAN WILAYAH










YB DATO' HJ HUSAM BIN HJ MUSA
PENGERUSI JAWATANKUASA PERANCANGAN EKONOMI, KEWANGAN DAN KEBAJIKAN










YB DATO' HJ ANUAR TAN BIN ABDULLAH
PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN USAHAWAN, PERDAGANGAN DAN PERPADUAN MASYARAKAT









YB HJ MOHD AMAR BIN ABDULLAH
PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN ISLAM, PENDIDIKAN DAN DAKWAH










YB DATO' HJ TAKIYUDDIN BIN HJ HASSAN
PENGERUSI JAWATANKUASA KERAJAAN TEMPATAN, PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN










B MEJ(B) HJ MD ANIZAM BIN ABD RAHMAN
PENGERUSI JAWATANKUASA PERUMAHAN, KERJARAYA, UTILITI DAN ALAM SEKITAR











YB ABDUL FATTAH BIN HJ MAHMOOD
PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN INSAN, BELIA, SUKAN DAN NGO










YB PUAN HJH WAN UBAIDAH BT OMAR
PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN KESIHATAN










YB HJ CHE ABDULLAH B MAT NAWI
PENGERUSI JAWATANKUASA PERTANIAN, INDUSTRI DESA DAN BIOTEKNOLOGI











YB DR MOHD FADZLI B DATO' HJ HASSAN
PENGERUSI JAWATANKUASA PENERANGAN, PEMBANGUNAN MAKLUMAT, SAINS DAN TEKNOLOGI

TM Piala Malaysia 2009 : Penang 1 - 2 Kelantan



Sumber Grafik :http://epiq835.blogspot.com/

Kelantan FM


Kelantan FM merupakan salah satu stesen radio negeri di Malaysia. Slogannya ialah Penuhi Citarasa Anda. Ia diselenggarakan oleh RTM Negeri Kelantan. Ia boleh didengari di seluruh negeri Kelantan dan juga kawasan sempadan seperti Jerteh di Terengganu dan Golok di Selatan Negara Thai.

Sejarahnya bermula pada 16 November 1963, dimana Radio Malaysia Kota Bharu mula beroperasi. Perasmian pembukaan pula dilakukan pada 6 November 1964 oleh K.D.Y.M.M. Al-Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Petra.Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abd. Razak, Menteri Penerangan dan Penyiaran Malaysia dan juga Menteri Besar Kelantan, Encik Muhammad Asri.RTM Kota Bharu merupakan stesen RTM pertama di Malaysia yang mempelopori siaran daerah.

Kos pembinaanya mencecah RM 115 juta dan dilengkapi 3 Studio yang terdiri dari 2 Studio Siaran dan 1 Studio Ceramah. Bangunan ini turut dilengkapi dengan sebuah Panggung ataupun dikenali sebagai Auditorium dan boleh memuatkan lebih kurang 160 orang penonton. Siaran daerah pada masa itu disiarkan hanya beberapa jam sahaja sehari dan mendapat sambutan segenap lapisan masyarakat.

Di awal penubuhannya,Radio Malaysia Kota Bharu merupakan stesen permulaan memulakan siaran daerah kawasan timur berbanding dengan negeri-negeri lain dan berita daerah disampaikan dalam loghat Kelantan.

Pada tahun 1996, nama Radio 3 Kota Bharu telah ditukar kepada Radio Malaysia Kelantan selari dengan penyusunan semula stesen radio negeri-negeri di seluruh negara. RMK boleh diterima siarannya melalui FM stereo dan Gelombang Sederhana di negeri Kelantan, Hulu Terengganu dan Selatan Thailand.

Pada 1 April 2005, sempena Penjenamaan Semula Radio Malaysia nama Radio Malaysia Kelantan ditukar kepada KELANTAN.Pada 17 Jun 2005, sempena Perasmian Pelancaran Penjenamaan semula Radio Malaysia Kelantan kepada KELANTAN fm, Yang Berhormat Menteri Penerangan Dato’ Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir mengumumankan siaran KELANTAN fm dilanjutkan dari 18 jam kepada 24 jam mulai 1 Ogos 2005.

Frekuensi

88.1 MHz Felda Paloh Gua Musang
90.0 MHz Jeli
92.0 MHz Bukit Chupot (Gua Musang)
97.3 MHz Bukit Bakar (Machang)
102.9 MHz Telipot (Kota Bharu)
107.1 MHz Bukit Bintang (Besut, Terengganu)

Universiti Malaysia Kelantan


Universiti Malaysia Kelantan (Inggeris: University of Malaysia Kelantan) (UMK) secara rasminya berada dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Ia merupakan institut pengajian tinggi awam yang ke-19 di Malaysia dan memulakan pengambilan pelajar pada awal Jun 2007. Terkini, universiti ini mempunyai tiga buah fakulti dan satu pusat pengajian untuk digunakan oleh para penuntut universiti ini.

Buat masa ini, UMK menumpang di Institut Perguruan Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan. Kampus utama UMK akan terletak di Bachok, manakala kampus cawangannya terletak di Jeli. Kedua-dua kampus tersebut masih dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2008.

Penubuhan universiti awam di Kelantan diumumkan oleh Perdana Menteri, pada 31 Mac 2006 setelah mendapat kelulusan Kabinet pada Jun 2006.

Prof. Ir. Dr. Zainai Mohamed telah dilantik sebagai naib canselor pertama Universiti Malaysia Kelantan, berkuatkuasa 1 Oktober 2006. Anak kelahiran Kelantan ini merupakan bekas Timbalan Rektor Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.

Menjelang Julai 2010, Universiti Malaysia Kelantan dijangka mampu menampung seramai 2,160 pelajar di samping 135 orang kakitangan akademik serta 148 orang kakitangan bukan akademik.

Fakulti

* Fakulti Agro-Industri dan Sumber Asli
* Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan
* Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan
* Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan

Perpustakaan Negeri


Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK) pada awalnya dikenali sebagai Perpustakaan Umum Carnegie yang ditubuhkan pada tahun 1938, hasil bantuan sebanyak 1,000.00 paun sterling dari Yayasan Carnegie di New York dan RM2,500.00 sumbangan dari kerajaan negeri Kelantan.

Bangunannya terletak di Jalan Doktor, Kota Bharu. Ahli Jawatankuasa yang terpilih pada waktu itu terdiri daripada En. A.C.Baker ;penasihat British, En.Gordon Hal, En.C.Crae dan YM Tengku Mahyiddeen. Bantuan sebanyak RM1,000.00 setahun diterima dari kerajaan negeri dari tahun 1939 - 1946. Walau bagaimanapun antara 1947 - 1949, pihak perpustakaan hanya menerima sebanyak RM500.00 dari kerajaan negeri sebagai bantuan tahunan.

Mulai tahun 1963, langkah-langkah pemulihan mula dijalankan dengan peruntukan tahunan sebanyak RM2,500.00 bagi perbelanjaan pengurusan dan pembelian bahan-bahan bacaan perpustakaan. Pada 1964, peruntukan telah ditambah kepada RM5,000.00 . Mulai 1hb. Januari 1965, pentadbiran perpustakaan telah diambil alih oleh Jumaah Amanah Perpustakaan Umum Carnegie. Hasil usaha Ahli Jumaah, perpustakaan ini mula dibuka kepada umum pada 1hb. Julai 1967.

Perpustakaan Umum Carnegie telah ditukarkan namanya kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan apabila Enakmen No.14 Tahun 1973 dikuatkuasakan. Pada waktu itu, perpustakaan ini dikendalikan oleh 3 orang kakitangan sahaja iaitu 2 kerani rendah dan seorang pelayan pejabat. Sehingga 1978, sumbangan dari kerajaan negeri adalah sebanyak RM5,000.00 setahun. Walau bagaimanapun peruntukan tahunan ditambah mulai 1979 - 1982 kepada RM35,000.00 setahun dan kakitangan juga bertambah kepada 6 orang.

Dalam Rancangan Malaysia Ketiga, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk pembinaan bangunan baru. Bangunan setinggi 3 tingkat dengan keluasan 31,000 kaki persegi di atas tapak seluas 1.13 ekar ini dibina di Jalan Mahmod, Kota Bharu. Urusan pembinaan dimulakan pada April 1981 dan siap sepenuhnya pada Oktober, 1982 dengan belanja yang meningkat hampir RM4 juta. Mulai 15hb. Februari, 1983 perpustakaan ini dibuka kepada orang ramai dan dirasmikan oleh KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan pada 1hb. April, 1983.

Di samping menyediakan perkhidmatan pinjaman, rujukan dan menjalankan aktiviti-aktiviti untuk kanak-kanak dan dewasa,perpustakaan ini juga menyediakan perkhidmatan audio-visual, multimedia dan Internet termasuk digital library yang semakin popular. Perkhidmatan baru ini adalah selaras dengan perkembangan sains dan teknologi dalam pembangunan negara serta membantu masyarakat ke arah literasi teknologi maklumat.

Sabtu, September 26, 2009

Kedai Kopi


Permandangan di atas adalah senario biasa yang dapat dilihat pada waktu pagi di hampir setiap pelosok negeri Kelantan. Masyarakat Kelantan tanpa mengira pangkat menjadikan kedai kopi sebagai medan pertemuan. Disinilah mereka menjamu selera sambil berbincang tentang topik politik, masyarakat dan isu-isu semasa dalam dan luar negara.Biasanya sambil menghirup secawan kopi atau teh o panas dan menikmati nasi berlauk, mereka juga menjadikan kedai kopi tempat perbincangan untuk memulakan sesuatu kerja seperti gotong-royong dn sebagainya.

Dikir Barat


Dikir barat merupakan satu persembahan kebudayaan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan.
Elemen asas dalam kumpulan dikir barat adalah dua teraju utamanya , iaitu Tukang Karut dan Tok Juara. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh aawak-awak sebagai suara latar dengan suara yang lantang dan kuat.
Tok Juara ialah penyanyi utama kumpulan dikir dan biasanya berperanan memulakan persembahan diikuti Tukang Karut. Tidak seperti Tok Juara, Tukang karut akan berinteraksi dengan penonton menerusi gelagatnya. Tukang karut perlu bijak memberikan persembahan menghiburkan sesuai dengan fungsinya sebagai penghibur. Awak-awak pula biasanya akan menyanyikan korus pada dikir. Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama itu tadi.
Dikir barat di Kelantan dipercayai dipelopori oleh Pak Teh Tapang, Pak Ku Mat, Seman Wau Bulan, Husin Gelang Mas, jusoh Kelong, Daud Bukit Abal dan Arifin Ana. Kemudian generasi bau terdiri daripada penyanyi dikir antaranya seperti Halim Yazid, Cikgu Sulizi Awang, Cikgu Naim, Zaidi Buluh Perindu, Mat Glamour dan Megat Nordin

Halim Yazid

Cikgu Sulizi

Rabu, September 16, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Penulis akan bercuti mulai 17 September hingga 27 September 2009. Selamat Hari Lebaran Dan Maaf Zahir Batin Kepada Semua Umat Islam Di Seluruh Dunia Yang Mengikuti Blog Sekilas Pandang.

Selasa, September 15, 2009

Empangan Pergau



Empangan Pergau ialah sebuah empangan hidroelektrik utama di Kuala Yong, Kelantan. Ia terletak merentasi Sungai Pergau lebih kurang 70 km ke barat daya Kota Bharu.

Stesen kuasa ini adalah stesen hidroelektrik, dengan 4 turbin dengan keupayaan 150 MW sebuah berjumlah 600 MW. Stesen ini dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad.

Pembinaan dimulakan pada tahun 1994 dan disiapkan pada tahun 2000. Empangan ini memulakan operasi pada tahun 2003 dan dirasmikan pada 2003.

Fakta menarik

- Empangan Pergau adalah stesen janakuasa hidro terbesar di Malaysia dengan keupayaan 600 MW.

Isnin, September 14, 2009

Tapai Pulut


Tapai pulut merupakan sejenis makanan tradisional di Malaysia dan amat digemari dikalangan penduduk pantai timur, terutamanya Kelantan.

Bahan utama yang digunakan untuk membuat tapai pulut adalah, beras pulut dan ragi. Beras pulut ini dikukus terlebih dahulu dan kemudiannya dicampurkan dengan serbuk ragi. Kemudian, nasi pulut bercampur ragi ini dibungkus di dalam daun khas dan kemudiannya diperam beberapa hari sehingga menghasilkan rasa masam.

Di Kelantan khasnya, tapai pulut seringkali dihidangkan di musim perayaan.

Ketupat Palas


Ketupat palas atau ketupat pulut ialah ketupat yang menggunakan daun pokok palas sebagai pembungkusnya.Di kelantan ketupat palas lebih meluas dihidangkan pada hari raya berbanding ketupat nasi. Berbeza dengan ketupat daun atau ketupat nasi ialah dari segi bentuk, saiz, penggunaan daun untuk membalut dan beras. Ketupat daun atau ketupat nasi, dianyam berbentuk empat segi ataupun berbentuk bawang yang menggunakan daun kelapa. Bentuk ketupat palas pula berbentuk tiga segi. Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza. Beras yang digunakan untuk ketupat palas ini ialah beras pulut, manakala isi ketupat daun menggunakan beras nasi, iaitu beras yang digunakan sebagai makanan harian.


Pokok Daun Palas


Daun Palas


Ketupat yang sudah dimasak

Kelantan vs Pilihan Narathiwat


Kepada peminat bolasepak Kelantan , datanglah beramai-ramai ke Stadium Sultan Muhammad ke iv pada 14 September jam 9.45 malam untuk menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad Piala Malaysia Kelantan dan Pilihan Narathiwat. Perlawanan ini bertujuan sebagai pemanas badan dan mencari kombinasi sesuai untuk menghadapi kempen Piala Malaysia nanti.

Red Warrior’s pamer aksi hebat


KOTA BHARU- Jaringan Muhammad Khalid Jamlus pada minit ke 20 berjaya memecahkan gawang pihak lawan dalam perlawanan persahabatan bertemu dengan Pasukan Bola Sepak Narathiwat.

Dalam perlawanan tersebut yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV membuktikan pasukan Kelantan bukanlah saingan buat pasukan Thailand yang sedang mengungguli Liga Divisyen Dua di Thailand.

Pahlawan Merah sekali lagi berjaya membolosi pertahanan ketat pasukan lawan melalui jaringan Mohd Nizad Ayub pada minit ke 38.

Setelah rehat, pasukan Narathiwat menggandakan asakan sehingga memaksa Kelantan bertahan tanpa serangan. Serangan bertalu-talu daripada pihak lawan dilihat merbahaya apabila beberapa cubaan hampir menjaringkan gol.

Walau bagaimanapun, peluang telah terbuka apabila pemain Narathiwat dijatuhkan oleh pemain pertahanan Kelantan dalam kotak penalti seterusnya memberikan pulang kepada Somnung berjersi 7 menjaringkan gol pertama buat pasukannya hasil daripada sepakan penalti.

Setelah Narathiwat bangkit, 2-1, Kijang mula mencari peluang dengan beberapa cubaan dan akhirnya Mohd Nor Farhan Muhammad berjaya menyempurnakan jaringan ketiga buat pasukan tuan rumah. Hasil jaringan tersebut Kelantan berjaya menambahkan mata, 3-1, sehingga ke akhir perlawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata kesemua pemain yang diturunkan kelmarin berjaya mempamerkan kebolehan dan perlawanan persahabatan ini boleh menilai dan memperkemaskan lagi persediaan Kelantan menuju ke Piala Malaysia.

“Perlawanan malam kelmarin agak bagus tetapi banyak lagi yang perlu diperbaiki seperti penyesuaian pemain lama dengan pemain baru. Seperti yang diketahui kekuatan pasukan Kelantan kini telah ditambah dengan enam pemain daripada Piala Presiden dan dua pemain yang dipinjam daripada kelab.

“Perlawanan persahabatan ini secara tidak langsung menjadi medan ujian kepada pemain untuk melihat sejauh mana keberkesanan kerjasama antara pemain manakala dari segi kecergasan pula semua pemain tidak mengalami masalah setelah seminggu menjalani latihan,” katanya.

Enam pemain daripada Piala Presiden iaitu Mohd Khairul Fahmi, Mohd Zamri Ramli, Mohd Hanif Mohd Noor, Mohd Ailim Fahmi, Mohd Izwan dan Tuan Mohd Norhafiziee bakal melonjak naik nama pasukan Kelantan di Piala Malaysia.

Selain itu, khidmat dua pemain daripada KL Felda United, Mohd Nazrul Erwan Makmur dan Norhisham Hassan daripada T-Team bakal memperkuatkan lagi posisi pertahanan dan tengah pasukan Kelantan.

Akan datang, Pahlawan Merah bakal bertemu Pasukan Pattani United di perlawanan persahabatan kedua pada 14 September di Stadium Sultan Muhammad-IV jam 9.45 malam.

Ahad, September 13, 2009

Rumah Api Tumpat


Rumah Api Tumpat juga Rumah Api Isyarat merupakan sebuah bangunan bersejarah yang terdapat di Jajahan Tumpat. Rumah api ini terletak berdekatan dengan kawasan stor Keretapi Tanah Melayu di Tumpat. bangunan ini berketinggian 70 kaki dan ukur lilit di bahagian bawah adalah 37’ 9". Ia dibina menggunakan batu-bata, berbentuk bulat, tirus ke atas dan mempunyai tangga di dalamnya.

Rumah api ini tidak digunakan lagi dan dijadikan bahan sejarah untuk tontonan umum kini dan akan datang.

Rumah api ini telah dibina oleh pihak berkuasa pelabuhan (Syahbandar) sekitar tahun 1900. Ia dibina kerana Tumpat merupakan sebuah bandar pelabuhan yang masyhur ketika itu kerana mempunyai kawasan perairan yang strategik bagi kemudahan para pedagang atau pelayar keluar masuk ke pelabuhan khususnya di waktu malam.

Menurut kenyataan penduduk di kawasan tersebut, rumah api ini dibina sebelum Perang Dunia II oleh pasukan marin bagi mengawasi perairan Tumpat. Semasa Perang Dunia II (1941-1945) tentera Jepun telah mengambil alih pentadbiran rumah api ini dan menggunakannya untuk mengawasi kawasan perairan dari ancaman musuh dan sebagai isyarat kepada kapal-kapal tenteranya membuat rondaan di laut.

Stadium Sultan Mohammed Ke IV


Stadium Sultan Mohammed Ke-IV merupakan salah sebuah stadium yang terdapat di negeri Kelantan. Stadium ini mampu menampung sehingga 30,000 orang penonton (duduk dan berdiri). Ia terletak di Jalan Doktor, Kota Bharu.

Stadium Sultan Mohammed Ke IV telah dibina pada tahun 1967 bertujuan bagi menyediakan tempat untuk menjalankan aktiviti sukan Negeri Kelantan, terutamanya sebagai padang bola sepak negeri. Ia dibina di atas tapak padang bola sepak Persatuan Bola Sepak Kelantan yang terletak di tengah pusat bandar Kota Bharu, bersebelahan dengan pejabat Kerajaan seperti Hospital Raja Perempuan Zainab II, Pejabat Kontinjen Polis Kelantan dan Pejabat Majlis Perbandaran Kota Bharu. Pada masa itu, ia merupakan sebuah stadium terbesar di Pantai Timur Semenanjung dengan muatan tempat duduk seramai 18,000 orang dan padang bolanya memenuhi piawaian keluasan padang yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara iaitu berukuran 119 meter panjang dan 100 meter lebar.

Selain dari kemudahan permainan bola sepak, kompleks stadium ini juga menyediakan gelanggang tenis, trek balapan, kemudahan sukan, kemudahan perniagaan untuk disewakan seperti, gudang, ruang pejabat, tapak ekspo, kios dan tandas awam. Ia juga menyediakan kemudahan tempat riadah seperti kawasan permainan kasut roda dan surau.

Stadium Sultan Mohammed Ke IV pada awal penubuhannya diuruskan oleh Persatuan Stadium Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Kelantan dan dianggotai oleh seramai 30 orang ahli terdiri dari kakitangan Kerajaan dan juga wakil persatuan sukan.

Mak Su Nab Nasi Air


Kalau mahu menikmati nasi air yang tersohor di Kelantan bolehlah berkunjung ke kedai Mak Su Nab di Berek 12
Berek 12, Jalan Hospital, Kota Baru
15200 Kelantan

Khamis, September 10, 2009

Pengumuman


Semua Pasaraya Di Kelantan Di Arah Tutup Pada Hari Raya Pertama
Bagi menghormati hari kebesaran perayaan terbesar umat islam Hari Raya ini, Kerajaan Negeri Kelantan, mengarahkan semua premis pasaraya di tutup pada hari raya pertama.

Rabu, September 09, 2009

Lagu Rasmi Kota Bharu Bandar Raya Islam

Serunding Daging Kg Laut


Menurut sumber - sumber yang boleh dipercayai, Kampung Laut di Jajahan Tumpat merupakan tempat pembuatan serunding yang terbaik di Kelantan.

Serunding daging buatan kelantan yang cukup istimewa dan terbukti kesedapannya kerana :

1. Diiktiraf oleh pihak MARDI sebagai 5 keluaran yang terbaik

2. Diperbuat dari daging asli dan rempah ratus berkualiti

3. Pernah dijadikan sebagai menu hidangan di mesyuarat majlis raja-raja

4. Mendapat permintaan tinggi di pasaran seperti di Brunei, Singapura,New Zealand, India, Mekah dll.

5. Tempoh kesegaran produk sehingga mencapai 6 bulan.

Selasa, September 08, 2009

Belangsungkawa : Mohamed Yaacob ( Mantan MB Kelantan )


Mantan menteri besar Kelantan Tan Sri Mohamed Yaacob, 85, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur pukul 5.50 pagi ini akibat kanser paru-paru sejak dimasukkan ke pusat perubatan itu Jumaat lepas.

Anak ketiganya, Dr Idora Mohamed ketika dihubungi Bernama berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya Puan Sri Nik Azizah Nik Ahmad dan lima orang anaknya.

Jenazah allahyarham kini ditempatkan di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor hari ini.

Mohamed Yaacob memulakan karier politiknya pada 1950 dan seterusnya menyertai pilihan raya umum 1969 dan memenangi kerusi parlimen Tanah Merah, Kelantan.

Allahyarham menjadi Menteri Besar Kelantan selama 13 tahun bermula 23 Mac 1978 hingga Oktober 1991.

Beliau menyertai Umno pada 1950 dan seterusnya bergiat aktif dalam politik selepas meletak jawatan dari perkhidmatan awam pada 1969.

Antara jawatan awam yang pernah disandangnya ialah pegawai tadbir dalam perkhidmatan awam Kelantan pada Ogos, 1948. Beliau rakyat tempatan pertama menjawat jawatan itu.

Mohamed Yaacob juga pernah menjadi majistret di Muar dan Batu Pahat, Johor dan penolong pendakwa raya di Ipoh, Perak dari September 1962 hingga Ogos 1964.

Mohamed Yaacob memulakan persekolahan peringkat rendah di Sekolah Melayu Kampung Laut, Kelantan pada 1932 dan Sekolah Melayu Mentuan, Kota Baharu, Kelantan dari tahun 1933 hingga 1936.

Beliau meneruskan persekolahan peringkat menengah di Overseas School Certificate Sultan Ismail College (Special Malay Class), Kota Baharu, Kelantan pada 1947.

Seterusnya, Mohamed Yaacob melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang peringkat Ijazah (LL.B) di Lincoln's Inn, England dari 1954 hingga 1958.

Allahyarham dilantik Timbalan Menteri Kewangan pada Januari 1973; Menteri Pelajaran pada Ogos 1973; Menteri Alam Sekitar, Teknologi dan Tenaga pada Ogos 1974; dan Menteri Perusahaan Awam dari 5 Mac 1976 hingga 22 Feb 1978.

Beliau pernah menjadi Senator mulai 10 Disember 1996 selama tiga tahun dan seterusnya dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 27 Dis 1999 hingga Dis 2000.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Nik Azizah Nik Ahmad, 72, dan lima anak termasuk tiga perempuan, dan 12 cucu.

Ahad, September 06, 2009

Biodata Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat


Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Yang Amat Berhormat Dato'
Menteri Besar Kelantan ke-12
_________________________________________________
Lahir 1931
Kota Bharu
Parti politik PAS
Pasangan Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak
Y.A.B. Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat merupakan Menteri Besar Kelantan kini. Namun imej beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama, di samping merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Latar belakang:
Nik Abdul Aziz Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
Nik Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.
Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.
Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Pendidikan:
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka. Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir.Ketika belajar, beliau pernah menjadi salah seorang saksi kepada Perang Arab-Israel.
Beliau juga pernah menuntut di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan (3 Bulan) – 1936 Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu Universiti Deoband, India – 1952 Universiti Lahore, Pakistan - 1957 Beliau mampu berkomunikasi dalam Bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.

Kerjaya politik:
Tuan Guru mula menjadi ahli PAS pada tahun 1967, kini beliau adalah Mursyidul Am bagi parti tersebut. Semenjak tahun 1990, beliau telah memegang tampuk kepimpinan sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau juga adalah seorang ADUN bagi kawasan N.06 Chempaka, Kelantan. Pada pilihan raya ke-11, Nik Aziz menyandang kerusi tersebut setelah mengalahkan Ruhani Mamat (BN) dengan majoriti undi sebanyak 3,694.
Pada Pilihan Raya Umum Malaysia kali ke-12, beliau bersemuka dengan Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar yang bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) di kawasan DUN yang sama. Secara peraturannya, Nik Aziz sudah boleh menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon apabila lawannya itu terlupa untuk menurunkan tandatangannya pada borang penamaan calon. Namun beliau tidak mahu menang dengan cara begitu lalu meminta calon BN itu menandatangani semula borang pencalonan tersebut.Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Nik Aziz menang dengan majoriti undi yang lebih besar, iaitu 4,249.
Beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai seorang Menteri Besar selepas pilihan raya yang terbaru ini.Penggantinya itu akan dipilih melalui satu proses undian sulit. Namun jika undian yang dibuat kelak menyaksikan beliau terus dipilih, beliau sedia meneruskan tanggungjawab itu walaupun sudah terbabit dalam politik Pas sejak 42 tahun lalu.

Onde-onde


Onde-onde ialah sejenis manisan pencuci mulut yang biasa didapati pada bulan Ramadan. Makanan ini diperbuat daripada campuran tepung pulut dan air pandan yang digentel menjadi bentuk bulat leper. Didalam onde-onde ini ditaruh gula melaka atau nisan keret. Onde-onde ini kemudian digolekkan di atas kelapa parut yang bercampur sedikit garam. Rasanya sungguh manis dan menyelerakan

Pesta Songkran

Perkataan "Songkran" adalah dari bahasa sankrit yang membawa maksud peralihan atau hijrah dalam bahasa Arab. Hari Songkran merupakan hari peralihan tahun atau tahun baru mengikut kalendar lama Siam. Kebiasaannya hari Songkran disambut pada 13 April bersamaan khen 1 kham dean 5 (mengikuti kelender lama Siam) setiap tahun. Pesta sambutan hari Songkran ini dirai begitu meriah sekali oleh masyarakat Siam di seluruh dunia. Sementara di Malaysia, pesta ini disambut di kawasan penempatan Masyarakat Siam iaitu di Daerah Tumpat

Secara tradisi, pesta Songkran disambut dengan golongan muda termasuk kanak-kanak memohon maaf serta meminta restu terutama ibubapa, guru dan sami. Sebagai lambang kemaafan, golongan tua akan dimandikan dengan menyiram air bersih dan wangi-wangian di atas tapak tangan, kaki dan seterusnya anggota badan yang lain. Bagaimanapun, golongan muda perlu meminta kebenaran terlebih dahulu sebelum berbuat demikian. Sewaktu dimandikan, golongan tua akan mendoakan kebahagiaan terhadap generasi muda atau anak serta cucu mereka. Selepas itu, golongan tua akan dikenakan pakaian baru dan bersih.


Sabtu, September 05, 2009

Main Aji


Merupakan jenis permainan masa lapang.Biasanya dimainkan di sebelah luar kedai kopi Tujuan permainan ialah untuk mengalahkan pihak lawan. Bilangan pemain ialah dua orang seperlawanan. Alatan yang digunakan di dalam permainan ini ialah tudung botol dan kulit kerang serta Papan Dam. Gelanggangnya adalah Permukaan rata yang biasanya di perbuat atas kayu.

Selasa, September 01, 2009

Sistem jalan sehala di Bandar Kota Bharu bermula 11 Ogos 2009


Pelaksanaan Sistem Jalan Sehala di Pusat Bandar Kota Bharu bermula 11 Ogos 2009 ternyata telah berjaya mengurangkan kesesakan lalulintas di Bandar Raya Islam ini berbanding dengan keadaan sebelumnya.
Tinjauan yang dilakukan pada hari pertama, kedua perlaksanaan dan hari-hari seterusnya mendapati, aliran lalulintas di pusat bandar berjalan lancar kerana beberapa jalan utama yang sebelum ini merupakan laluan dua hala (bertentangan) telah ditukar menjadi sehala membolehkan sekurang-kurang 4 buah kenderaan dapat bergerak serentak ekoran keadaan jalannya yang lebar atau luas selepas pembahagi jalan dibuang.
Bagaimanapun pada hari pertama pelaksanaannya, keadaan agak sesak sedikit bagi laluan masuk dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) ke pusat bandar bersebelahan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri ekoran sebelah jalan masuk telah ditutup menyebabkan berlakunya kesesakan di situ hingga ke atas Banggol.
Melalui tinjauan pada keesokkan harinya, pihak Jabatan Kerja Raya telah membuang sekatan ‘kon’ berkenaan dan kedua-dua laluan masuk tersebut boleh digunakan oleh semua kenderaan yang datangnya dari arah PCB, Masjid Muhammadi, Istana Balai Besar atau dari arah utara Bandar Kota Bharu.
Antara jalan-jalan yang terlibat menjadi jalan sehala iaitu Jalan Temenggong, Jalan Doktor, Jalan Hospital (bermula dari Simpang Empat Jalan Mahmod hingga ke Medan Tuan Padang), Jalan Gajah Mati, Jalan Tok Hakim, Jalan Pintu Pong menuju ke Pasar Siti Khadijah dan Jalan Parit Dalam.
Laluan masuk ke Pusat Bandar dari 4 arah berasingan sebelum ini iaitu dari arah Pasir Putih, Machang, Tumpat/Wakaf Bharu dan Pengkalan Chepa tidak berubah cuma berlaku satu penambahan pintu masuk di Jalan Sultan Ibrahim berhampiran Stesen Minyak Esso apabila pemandu yang datang dari arah Pasir Putih, Machang dan Tumpat boleh terus ke Hospital Raja Perempuan Zainab II tanpa perlu melalui Bulatan Medan Tuan Padang (Menara Jam Besar).
Ini kerana pembahagi jalan di hadapan stesen minyak tersebut telah dibuang untuk di jadikan jalan laluan masuk ke hospital, Wisma Persekutuan dan Stadium Sultan Mohamad ke IV dari tiga arah berkenaan.
Dengan pembukaan ˜pintu masuk baru' ini diyakini kesesakkan lalulintas di Bulatan Medan Tuan Padang pada waktu puncak seperti menjelang Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji ataupun selepas waktu bekerja (jam 5.00 petang) dapat dikurangkan ataupun tidak akan berlaku lagi.
Apapun dalam tempoh dua hari pelaksanaan jalan sehala ini telah membantu mengurangkan kesesakkan lalulintas terutamanya di sekitar Bulatan Medan Tuan Padang kerana sebelum ini bulatan tersebut menjadi tumpuan 4 arah laluan traffik telah dikurangkan kepada 3 laluan sahaja.
Bagi orang ramai yang ingin berurusan dengan MPKB-BRI dan mahkamah, mereka bolehlah melalui Jalan Mahmood seterusnya memasuki Jalan Hospital dan menuju ke Bulan Medan Tuan Padang.
Walaupun pada peringkat percubaan ini, ramai pemandu yang teragak-agak untuk mencari laluan masuk ke pusat bandar dan sering kedengaran berlakunya kemalangan kecil namun mungkin dalam tempoh beberapa hari lagi, keadaan akan berubah apabila orang-ramai sudah biasa dengan laluan baru ini.

Dipetik Daripada Buletin MPKB-BRI

Solok lada


Solok lada atau juga dikenali sebagai lada sumbat merupakan sejenis masakan tradisional Melayu. Masakan ini popular di negeri Kelantan dan merupakan hidangan istimewa di sana. Solok lada dibuat daripada lada hijau yang dibelah dan disumbat dengan inti yang diperbuat daripada kelapa parut, isi ikan, dan santan. Lauk ini biasanya dimakan bersama nasi kerabu.