Rabu, September 30, 2009

Peminat Kelantan Minta KAFA Bendung Ulat Tiket


KOTA BAHARU, 30 Sept (Bernama) -- Peminat bola sepak Kelantan meminta Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) segera membendung masalah "ulat tiket" yang mengambil kesempatan menjual tiket pada harga tinggi seperti perlawanan antara Kelantan dan Kedah di sini, malam Selasa.

Ulat tiket itu dikatakan memborong habis-habisan tiket tempat duduk berbumbung yang sepatutnya dijual pada kadar harga RM20.

"Ulat itu menjual pula kepada kami pada kadar harga RM30 dan RM35 untuk sekeping tiket yang mahu tidak mahu kami terpaksa membeli apabila diberitahu tiket tempat berbumbung sudah habis dijual.

"Yang kami hairan kenapa tiket tempat berbumbung dilaporkan habis dijual dalam tempoh tidak sampai sejam tetapi tiket di tempat terbuka masih banyak?" kata Azrul Shah Shahrim, 37, kepada Bernama.

Beliau, yang datang awal pada pukul 1.45 petang, tetapi disebabkan kaunter tiket masih belum dibuka datang semula sejam selepas itu dan dimaklumkan penjual bahawa tiket di tempat berbumbung sudah habis dijual.

Memandangkan ketika ini musim hujan, beliau akhirnya terpaksa mendapatkan tiket daripada ulat pada harga RM30.

"Saya lihat ulat tiket banyak berkeliaran di depan kaunter bagi menawarkan tiket di bahagian berbumbung itu dan kerana memikirkan hujan pada hampir setiap malam, saya terpaksa membeli pada harga tinggi itu," katanya.

Seorang rakannya, Zaharmin Sulung, 37, meminta KAFA menghadkan penjualan tiket itu kepada sekurang-kurangnya dua tiket kepada seorang pembeli.

"Kalau jual secara borong oleh seorang pembeli menyebabkan berlakulah keadaan macam ini sehingga menyukarkan peminat mendapatkan tiket yang akhirnya terpaksa mendapatkannya daripada ulat (tiket)," katanya.

Lebih 15,000 peminat bola sepak Kelantan memenuhi Stadium Sultan Muhamad Ke-IV di sini malam tadi yang menyaksikan Kelantan menang tipis 1-0 menewaskan juara bertahan Kedah dalam Kumpulan E.

Gol tunggal itu dijaringkan penyerang sensasi Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-49 melalui sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan