Rabu, Disember 30, 2009

Gunung Reng


Gunung Reng adalah sebuah gunung yang kecil dan mempunyai beberapa buah gua di dalamnya. Ianya menjadi lambang sejarah paling berharga kepada negeri Kelantan dan daerah Jeli sendiri. Dimana, kononnya diceritakan Puteri Saadong telah menggulingkan sebuah batu besar dari atas Gunung Ayam yang berdekatan dengan Gunung Stong lalu menghempap sebuah kampung yang penduduknya pada masa itu sedang leka menyaksikan temasya perlagaan antara anjing dan kucing. Ditakdirkan hanya seorang sahaja yang terselamat dari malapetaka itu.

Bahagian bawah gunung ini terdapat sebuah pintu gua.

Selain itu, ianya merupakan kawasan dan tempat yang unik kerana menempatkan lima gua semula jadi dengan kesan hakisan batu menyerupai patung wanita bersalin, patung bidan, kolam mandi, taman bunga dan tempat pertapaan yang ditinggalkan. Dari kajian yang dibuat, di dapati bukti-bukti menunjukkan Gunung Reng ini pernah didiami oleh manusia zaman lampau. Gunung Reng ini merupakan sejenis gua batu kapur yang amat menarik dan kini menjadi destinasi pelancongan di negara ini. Tempat ini mempunyai tarikan sejarah tersendiri dan terletak di tepi laluan Jalan Raya Timur Barat, sekali gus boleh menjadi lokasi untuk berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Bagi mereka yang ingin mengunjungi tempat bersejarah ini adalah sangat mudah. Bagi yang mempunyai kenderaan sendiri bolehlah terus menyusuri Jalan Raya Timur-Barat sejauh 15 km dari bandar Jeli manakala pengunjung yang lain bolehlah mendapatkan perkhidmatan awam seperti bas dan teksi di stesen masing di bandar Jeli. Perjalanan dari bandar Jeli ke kawasan Gunung Reng mengambil masa lebih kurang setengah jam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan