Sabtu, Jun 18, 2011

Dialek Kelantan : Cakelat



Gula-gula dipanggil cakelat..begitu juga dengan coklat yang dipanggil cakelat. Bila mendengar kanak-kanak menyebut cakelat, sukar hendak dibezakan apa yang dimaksudkan, sama ada gula-gula atau coklat.

Jumaat, Jun 17, 2011

Malaysia Lawan Myanmar Di Kota Bharu



Stadium Sultan Muhammad Ke IV dipilih sebagai medan perlawanan persahabatan antarabangsa yang keempat skuad Malaysia pada tahun 2011. Malaysia akan bertemu Myanmar pada 18 Jun ini. Ini adalah julung kalinya perlawanan antarabangsa skuad Malaysia diadakan di luar Lembah Klang. Seharusnya warga Kelantan berbangga mendapat penghormatan ini. Stadium ini dipilih berikutan mutu padang yang terbaik di Malaysia ketika ini selain sambutan penonton yang ramai setiap kali pasukan Kelantan beraksi. Kepada peminat bolasepak Kelantan, apa kata kali ini kita memenuhi ruang stadium dengan warna kuning atau biru pula untuk memberikan sokongan kepada pemain Malaysia apatah lagi ramai pemain Kelantan yang terpilih menjalani latihan untuk skuad Malaysia pada kali ini.

Rabu, Jun 15, 2011

Enam Pemain Kelantan Dipanggil Sertai Skuad Malaysia



Enam pemain skuad Kelantan dipanggil menjalani latihan pasukan Malaysia untuk menghadapi Taiwan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Zon Asia. Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, S. Chanthuru, Rizal Fahmi, Farisham Ismail dan Shakir Shaari dipanggil menjalani latihan bersama 22 orang lagi pemain untuk merebut slot 22 pemain yang akan membawa cabaran negara itu nanti. Ini merupakan panggilan pertama kepada Shakir Shaari untuk skuad senior negara. Tahniah.

Selasa, Jun 14, 2011

Keputusan MSL 2011: Kelantan 1 Perak 0







Jaringan tunggal pendahulu senarai penjaring terbanyak Liga Super 2011, Nor Shahrul Idlan Talaha sudah cukup untuk pasukan Kelantan mendominasi carta liga yang berbaki satu lagi perlawanan. Kelantan hanya memerlukan satu lagi mata dalam perlawanan terakhir bertemu pasukan Sabah pada 6 Julai nanti untuk mengesahkan kejuaraan liga menjadi milik pasukan Red Warrior ini. Tahniah kepada semua pemain Kelantan yang bermain dalam perlawanan ini yang bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan meskipun keletihan dan kekecewaan gagal dalam perlawanan akhir Piala FA masih lagi terasa. Sesungguhnya anda semua wira rakyat Kelantan. Tahniah.

MSL 2011 : Kelantan Lawan Perak



Kelantan akan berhadapan dengan Perak dalam perlawanan ke 25 Liga Super musim ini. Kekecewaan tumpas pada perlawanan akhir Piala FA baru ini harus dilupakan pemain kerana kemenangan dalam perlawanan ini cukup penting tatkala pasukan Kelantan memburu satu lagi kemasyuran dalam dunia bolasepak iaitu dengan menjulang kejuaraan Liga Super buat julung kali.Ayuh pemain Kelantan, bangkitlah melawan demi maruah kita. Usah biarkan kejuaraan yang hamper menjadi milik kita ini terlepas lagi. Inilah Masanya. Selamat berjuang wiraku.

Sabtu, Jun 11, 2011

Keputusan Final Piala FA 2011 : Kelantan 1 Terengganu 2







Tuah nyata tidak berpihak kepada pasukan Kelantan. Disaat permainan akan ditamatkan pada bila-bila masa sahaja, Terengganu bangkit menyamakan kedudukan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. Dengan semangat pemain Kelantan seakan sudah luntur dek gol lewat permainan, Terengganu memanfaatkan peluang tersebut untuk menjaringkan gol kemenangan seterusnya merangkul piala FA buat kali kedua manakala Kelantan terus kempunan kali kedua untuk mendakap piala FA buat kali pertama. Kelantan terlebih dahulu dihadapan menerusi jaringan cantik Nurul Azuan Roya sebelum Daudsu Jamaludin tertanduk bola ke gawang sendiri beberapa saat sebelum perlawanan tamat. Gol tersebut nyata menyemarakkan pemain Terengganu dan buktinya pemain gantian, Ahmad Nordin Alias muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan Terengganu pada masa tambahan. Tahniah kepada pasukan Terengganu dan kepada pemain Kelantan, tahniah juga kerana berjaya mara ke final buat kali kedua dalam masa 3 tahun. Anggaplah rezeki kita belum ada lagi untuk tahun ini tetapi kita masih lagi berpeluang menjuarai satu lagi piala yang berprestij yang belum pasukan Kelantan genggam iaitu piala Liga Super. Selamat berjuang pada baki dua lagi perlawanan Liga Super.

Jumaat, Jun 10, 2011

Final Piala FA 2011 : Kelantan Lawan Terengganu





Kelantan mara ke perlawanan akhir piala FA buat kali kedua dalam masa 3 tahun. Kemaraan ke pentas akhir pada kali ini diharap membawa catatan gemilang kepada sejarah bola sepak Kelantan. Kemenangan amat didambakan peminat yang mahu melihat piala FA diarak ke Kota Bharu buat kali pertama seperti mana perarakan piala Malaysia pada tahun lepas. Kepada penyokong Kelantan yang bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil, diharap menjaga tingkah laku dan nama baik negeri Kelantan. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan para penyokong agar menjaga tingkah laku dan tidak membuat onar semasa menonton perlawanan akhir nanti.

Isnin, Jun 06, 2011

Keputusan MSL 2011: Terengganu 0 Kelantan 3





Kelantan meneruskan momentum kemenangan apabila membelasah Sang Penyu dilaman sendiri 3-0. Skuad Kijang memperolehi gol pertama melalui Izuan Solahuddin pada minit ke 9 yang berpunca dari hantaran silang Daudsu. Manakala Terengganu gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai banyak peluang. Bersambung pada separuh masa kedua,Terengganu memperkuatkan serangan namun gagal menembusi gol yang dikawal kemas oleh penjaga gol kedua Kelantan, Mohd Sharizan Ismail. Namun The Red Warriors berjaya menjaringkan gol melalui Norshahrul Idlan Talha selepas penjaga gol Terengganu yang juga penjaga gol kebangsaan Mohd Sharbini melakukan kesilapan awal.Ketika kedaaan seakan-akan berkedudukan 2-0,Nor Shahrul sekali lagi menjaringkan gol pada masa kecederaan sekali gus memastikan Sang Kijang membawa 3 mata penuh ke Kota Bharu. Untuk rekod,Kelantan terus menerajui liga dengan 50mata,dikuti Selangor dengan 48mata manakala Terengganu 47mata. Kemenangan ini juga merupakan satu lagi kemenangan moral kepada pemain Kelantan sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi membuat perhitungan bagi merebut kejuaraan Piala FA pada 11 Jun nanti di Bukit Jalil.

MSL 2011 : Terengganu Lawan Kelantan



Dua pasukan terhebat Malaysia bakal berentap di Kuala Terengganu untuk menentukan siapa paling layak digelar gergasi Pantai Timur. Perlawanan ini diibaratkan sebagai pra perlawanan akhir Piala FA apabila kedua-dua pasukan ini sekali lagi akan berentap pada 11 Jun untuk menentukan kejuaraan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Keputusan yang memihak kepada salah satu pasukan dalam perlawanan ini juga merupakan gambaran kepada pasukan mana yang akan dinobatkan sebagai juara Liga Super 2011 yang akan berakhir pada 6 Julai depan.