Kelantan dijangka mencipta dua rekod dalam Malaysia Book Of Record melalui persembahan daripada 1,001 pesilat dan pembuatan gendang terbesar pada Fiesta 2010 Kelantan yang bakal berlangsung pada 16 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, persembahan itu merupakan antara acara terbesar yang akan menghiasi fiesta itu yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV.
”Fiesta ini adalah satu lembaran baru buat rakyat Kelantan kerana ia bukan sekadar julung kalinya diadakan di negeri ini tetapi ia merupakan jalinan kerjasama buat pertama kalinya dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan sebuah syarikat swasta, Red Carpet World Wide Sdn Bhd dan mendapat sokongan dari kerajaan persekutuan.
”Program ini menekankan kepada aspek keperluan rakyat sebagai contoh adanya Education-Fair bagi memberi maklumat mengenai pendidikan tinggi dan kerjaya yang akan disertai oleh Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi,” katanya kepada pemberita semalam.
Selain itu katanya, turut diberi penekanan pada program itu ialah aspek perdagangan yang akan disertai Kementerian Perdagangan dan Industri Asas Tani.
Takiyuddin berkata, majlis perasmian Fiesta itu yang akan berlangsung pada malam 16 Jun itu juga diadakan secara besar-besaran apabila perasmiannya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dengan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.