Sabtu, Julai 31, 2010

4 Wakil Kelantan Dalam FAM



Kelantan mempunyai 4 wakil dalam Pemilihan majlis tertinggi FAM yang bermesyuarat hari Ini. Tan Sri Annuar Musa berjaya meraih undi kedua tertinggi dalam pemilihan sebagai Timbalan Presiden FAM. Datuk Afandi Hamzah pula berjaya mengekalkal kerusi Naib Presiden yang disandangnya pada pemilihan yang lepas sementara Datuk Takiyuddin Hassan dan Rosmadi Ismail berjaya menjawat jawatan Jawatankuasa Eksekutif FAM. Tahniah kepada mereka semua dan diharap perlantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai TImbalan Presiden FAM yang baru dapat menyuntik idea yang bernas demi memajukan mutu bolasepak Malaysia.

Keputusan TM Liga Super 2010 : Johor FC 1 - 3 Kelantan







Kemenangan Kelantan 3-1 mengatasi Johor FC di Pasir Gudang sekadar menyaksikan gergasi Pantai Timur muncul Naib Juara Liga Super 2010 setelah Selangor berjaya menundukkan Terengganu 2-0 di Shah Alam. Apapun tahniah diucapkan kepada pemain Red Warrior kerana memberi saingan sengit kepada Selangor dalam perebutan kejuaraan liga.

TM Liga Super 2010 : Johor FC Lawan Kelantan



Perlawanan penentu kejuaraan Liga Super 2010. Jika Kelantan mampu menewaskan Johor FC dan pada masa yang sama Selangor berjaya menewaskan Terengganu bermakna Kelantan sekadar mampu muncul naib juara Liga Super 2010. Apapun keputusan pada malam ini, yang penting pasukan Red Warrior sudah berjaya menempatkan diri di kalangan pasukan elit dalam Liga Malaysia setelah sekian kali menjadi pasukan tercorot.

Khamis, Julai 29, 2010

Keputusan TM Liga Super 2010 : Kelantan 4 - 1 KL Plus







Kelantan masih lagi memberi saingan kepada Selangor dalam pemburuan kejuaraan Liga Super 2010 apabila mencatat kemenangan ke atas KL Plus 4-1. Gol Kelantan hadir menerusi sumbangan Azizi Mat Rose, Indra Putra Mahyuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Nor Farhan Muhammad

Selasa, Julai 27, 2010

TM Liga Super 2010 : Kelantan Lawan KL Plus



Kelantan akan berhadapan dengan KL Plus dengan misi mengutip 3 lagi mata bagi memberi tekanan kepada pasukan Selangor dalam perebutan kejuaraan Liga Super 2010.

P/S : banner di ambil dari Blog Userunyusof.blogspot.com

Rabu, Julai 21, 2010

Kopi Pak Lah



Penghasilan Kopi bukanlah kegiatan ekonomi utama di Kelantan, namun kini ada usahawan kopi yang berani menceburi bidang ini. Individu yang dimaksudkan itu ialah Abdullah Ali atau lebih mesra disapa Pak Lah.

Tidak sukar untuk mencari bengkel perusahaan kopi Abdullah Ali, 60, yang terletak di Kampung Biah, Perol walaupun ia tiada papan tanda.

Cuma berpandukan aroma wangian yang menusuk dari jauh hasil kerja-kerja menggoreng biji kopi dan memprosesnya sebagai serbuk untuk pasaran tempatan, lokasi perusahaan berjaya ditemui.



Setiap hari, Abdullah menggoreng 100 kilogram dengan dibantu tiga pekerja sambilan. Semua itu dilakukan sendiri sejak 30 tahun lalu kerana dia belum memberi kepercayaan atau melepaskan tugasan kepada orang lain.

Pak Lah memasarkan kopinya dengan jenama Cap Dua Tangan yang kini turut disediakan dalam bentuk uncang bagi kemudahan pelanggan.

Mewarisi kemahiran menggoreng kopi daripada bapa mentuanya, Abdullah masih menggunakan kayu api kerana lebih mudah mengawal api, tambahan pula ia dapat mengekalkan keaslian rasa.

Bagi memastikan bekalan bahan mentah berterusan, sebanyak dua tan biji kopi diimport dari Indonesia setiap bulan kerana sukar memperoleh bahan mentah itu di pasaran tempatan.

Rafflesia Lojing



Kawasan seluas 650 hektar di Tanah Tinggi Lojing di pedalaman negeri ini merupakan kawasan pemuliharaan warisan negara dan dunia kerana terdapat populasi bunga Rafllesia Kerrii yang terbesar.

Spesies Kerrii hanya terdapat dari kawasan Selatan Thai sehingga ke sempadan Kelantan, Pahang dan Terengganu, ia tidak terdapat di negara lain.

Kawasan tersebut telah dikenal pasti oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakuliti Agro Industri dan Sumber Asli, Zulhazman Hamzah pada 2008.

Tikar Mengkuang Bukit Tanah Semerak



Kampung Bukit Tanah, Semerak dalam Daerah Pasir Puteh merupakan kawasan agak berpasir dan pokok-pokok mengkuang tumbuh meliar melatari persekitaran penempatan masyarakat petani.

Bagi kalangan wanita, sejak sekian lama kebanyakan mereka mewarisi kemahiran asas menganyam mengkuang bagi mengisi waktu yang banyak terluang.

Umumnya ia dijadikan tikar buat keperluan keluarga dan turut dijual sebagai sumber pendapatan sampingan, namun tidak terdedah kepada kemahiran mempelbagai produk daripada anyaman itu.

Dengan bahan asas yang masih banyak terdapat di kawasan itu, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) berusaha membantu mereka menjana pendapatan lebih besar.

Pembinaan bengkel anyaman bernilai RM35,000 yang dibiayai oleh PKKM Negeri Kelantan membolehkan buat permulaan 16 wanita di kampung itu menjadi kumpulan perintis ke arah menyemarakkan kembali aktiviti anyaman itu.

Kelantan Juara Pesta Wau



Kelantan muncul juara keseluruhan mengatasi Wilayah Persekutuan pada kejohanan Pesta Wau Antarabangsa 2010 yang berlangsung di Pantai Irama, Bachok kelmarin.

Kejohanan yang memasuki edisi ke-28 ini, memperkenalkan beberapa acara baru seperti wau tahan lasak, pertandingan wau atas perahu dan menerbangkan 1,000 wau secara serentak.

Selasa, Julai 20, 2010

Bachok lubuk aneka durian



Peminat buah durian kini boleh merancang destinasi percutian ke daerah Bachok di negeri ini bagi memuaskan hajat untuk menikmati kelazatan 'raja segala buah' itu.

Ini kerana, dusun-dusun durian yang diusahakan penduduk tempatan di sini mula menghasilkan buah yang dianggap oleh sesetengah peminat sebagai durian terbaik di negara ini.

Dengan dibantu oleh penanaman yang menggunakan teknologi moden, buah yang dihasilkan bukan setakat 'durian kampung' sebaliknya pengunjung akan turut disajikan dengan pelbagai pilihan daripada jenis kacukan dan hybrid.

Kampung Gunung yang terletak di pinggir Kota Bharu kini mula menuai hasil yang sangat banyak sejak dua minggu lalu malah peniaga yang membuka khemah di tepi jalan tersenyum puas dengan hasil jualan masing-masing.

Deretan khemah yang menjual buah durian dapat dilihat bermula awal pagi lagi di sepanjang Jalan Gunung-Pauh Lima-Kota Bharu dan sudah pastinya mampu menarik perhatian orang ramai yang lalu di situ.