Rabu, Mei 19, 2010
Kelantan laksana cuti bersalin 90 hari
Kerajaan Negeri Kelantan akan melaksanakan peraturan cuti bersalin bagi kakitangan wanita selama 90 hari, mulai tahun depan berbanding dua bulan yang dikuatkuasakan sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Wan Omar berkata, peraturan baru itu bagi membolehkan kakitangan wanita mengambil masa lebih panjang menjaga anak dan keluarga dalam tempoh pantang bersalin itu.
Beliau berkata, kertas cadangan telah diperincikan di peringkat jawatankuasa portfolio dan akan dibawa ke mesyuarat Exco minggu depan sebelum diluluskan.
Menurutnya, pada dasarnya kerajaan negeri sudah lama bersetuju untuk melaksanakan peraturan itu tetapi mengikut prosedur, ia perlu dibentangkan di peringkat mesyuarat Exco untuk mendapat kelulusan.
Ditanya sama ada peraturan baru itu boleh menjejaskan produktiviti kerja penjawat awam, Wan Ubaidah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang berkata, penjawat awam di jabatan kerajaan negeri ramai dan boleh membantu tugas kakitangan yang cuti bersalin. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan