Selasa, September 01, 2009
Sistem jalan sehala di Bandar Kota Bharu bermula 11 Ogos 2009
Pelaksanaan Sistem Jalan Sehala di Pusat Bandar Kota Bharu bermula 11 Ogos 2009 ternyata telah berjaya mengurangkan kesesakan lalulintas di Bandar Raya Islam ini berbanding dengan keadaan sebelumnya.
Tinjauan yang dilakukan pada hari pertama, kedua perlaksanaan dan hari-hari seterusnya mendapati, aliran lalulintas di pusat bandar berjalan lancar kerana beberapa jalan utama yang sebelum ini merupakan laluan dua hala (bertentangan) telah ditukar menjadi sehala membolehkan sekurang-kurang 4 buah kenderaan dapat bergerak serentak ekoran keadaan jalannya yang lebar atau luas selepas pembahagi jalan dibuang.
Bagaimanapun pada hari pertama pelaksanaannya, keadaan agak sesak sedikit bagi laluan masuk dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) ke pusat bandar bersebelahan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri ekoran sebelah jalan masuk telah ditutup menyebabkan berlakunya kesesakan di situ hingga ke atas Banggol.
Melalui tinjauan pada keesokkan harinya, pihak Jabatan Kerja Raya telah membuang sekatan ‘kon’ berkenaan dan kedua-dua laluan masuk tersebut boleh digunakan oleh semua kenderaan yang datangnya dari arah PCB, Masjid Muhammadi, Istana Balai Besar atau dari arah utara Bandar Kota Bharu.
Antara jalan-jalan yang terlibat menjadi jalan sehala iaitu Jalan Temenggong, Jalan Doktor, Jalan Hospital (bermula dari Simpang Empat Jalan Mahmod hingga ke Medan Tuan Padang), Jalan Gajah Mati, Jalan Tok Hakim, Jalan Pintu Pong menuju ke Pasar Siti Khadijah dan Jalan Parit Dalam.
Laluan masuk ke Pusat Bandar dari 4 arah berasingan sebelum ini iaitu dari arah Pasir Putih, Machang, Tumpat/Wakaf Bharu dan Pengkalan Chepa tidak berubah cuma berlaku satu penambahan pintu masuk di Jalan Sultan Ibrahim berhampiran Stesen Minyak Esso apabila pemandu yang datang dari arah Pasir Putih, Machang dan Tumpat boleh terus ke Hospital Raja Perempuan Zainab II tanpa perlu melalui Bulatan Medan Tuan Padang (Menara Jam Besar).
Ini kerana pembahagi jalan di hadapan stesen minyak tersebut telah dibuang untuk di jadikan jalan laluan masuk ke hospital, Wisma Persekutuan dan Stadium Sultan Mohamad ke IV dari tiga arah berkenaan.
Dengan pembukaan ˜pintu masuk baru' ini diyakini kesesakkan lalulintas di Bulatan Medan Tuan Padang pada waktu puncak seperti menjelang Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji ataupun selepas waktu bekerja (jam 5.00 petang) dapat dikurangkan ataupun tidak akan berlaku lagi.
Apapun dalam tempoh dua hari pelaksanaan jalan sehala ini telah membantu mengurangkan kesesakkan lalulintas terutamanya di sekitar Bulatan Medan Tuan Padang kerana sebelum ini bulatan tersebut menjadi tumpuan 4 arah laluan traffik telah dikurangkan kepada 3 laluan sahaja.
Bagi orang ramai yang ingin berurusan dengan MPKB-BRI dan mahkamah, mereka bolehlah melalui Jalan Mahmood seterusnya memasuki Jalan Hospital dan menuju ke Bulan Medan Tuan Padang.
Walaupun pada peringkat percubaan ini, ramai pemandu yang teragak-agak untuk mencari laluan masuk ke pusat bandar dan sering kedengaran berlakunya kemalangan kecil namun mungkin dalam tempoh beberapa hari lagi, keadaan akan berubah apabila orang-ramai sudah biasa dengan laluan baru ini.
Dipetik Daripada Buletin MPKB-BRI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan