Khamis, Ogos 06, 2009
KAFA Berjaya Lepasi Masalah Kewangan
Persatuan Bola Sepak Kelantan atau lebih dikenali sebagai Kafa, kini berjaya mengubah kemurungan yang melanda arena bola sepak negeri ini apabila berjaya mengembalikan keadaan yang suram suatu masa dahulu dengan sinar lebih terang dan menyerlah.
Dengan pengurusan terbaru Kafa, yang bermatlamat untuk menaik taraf persatuan ini sebagai satu persatuan bola sepak bertaraf profesional direalisasikan oleh kakitangan pengurusan baru dengan sistem tadbir urus yang lebih profesional dan sepenuh masa.
Untuk merealisasikan impian negeri ini bagi memiliki sebuah pasukan bola sepak yang disegani ramai, bukanlah sesuatu yang mudah kerana pengorbanan yang besar diperlukan untuk membina sebuah pasukan yang kuat dan sanggup menentang lawan.
Kesemua aspek diambil kira pengurusan yang dipimpin oleh Tan Sri Anuar Musa, selaku presiden yang berkebolehan untuk mengubah Kafa dari sebuah persatuan yang suram ke pengurusan yang lebih profesional dari segala segi termasuklah kewangan, masalah pemain, dan perancangan pembangunan bola sepak ke arah lebih cemerlang.
Bukan itu sahaja, Kafa turut melantik seorang Ketua Pegawai Operasi yang berkebolehan untuk mengendalikan team itu secara sepenuh masa. Beliau yang dimaksudkan ialah Mohd Noor Yaacob, yang dipilih berdasarkan latar belakang yang pernah menganjurkan beberapa program sebelum ini.
Mohd Noor dahulunya pernah bergiat aktif dalam politik dan kebanyakan program yang pernah dipimpinnya dilihat berjaya. Dalam pertemuan dengan beliau, katanya pembabitannya dalam Kafa berlaku secara kebetulan pada tahun 2008.
“Pada masa itu, saya tidak melibatkan diri dalam politik lagi dan dilihat sebagai seorang yang mempunyai masa untuk membentuk dan menyusun struktur organisasi ini. Selain itu, saya juga berperanan untuk menyediakan satu sistem yang lebih baik dari segi kewangan dan pengurusan.
“Sistem pengurusan tersebut membantu Kafa mencari penaja dan kewangan yang lebih tersusun pada masa akan datang. Kebanyakan persatuan bola sepak di Malaysia dilanda masalah kewangan dan Kafa dikenali sebagai salah satu persatuan yang pernah menghadapi masalah tersebut.
“Bagaimanapun, kita berjaya atasi masalah tersebut setelah pucuk pimpinan diterajui oleh Tan Sri Anuar Musa berjaya membentuk sebuah pasukan yang bersedia untuk menghadapi apa jua liga yang dianjurkan FAM,” katanya.
Sememangnya, kewangan banyak memainkan peranan penting untuk Kafa menghantar wakil negeri ke liga perlawanan yang dianjurkan FAM kerana setiap perlawanan memerlukan kewangan yang banyak untuk membayar gaji pemain, kakitangan, insurans, dan kos pengurusan ketika bermain di luar.
Seseorang yang memikul tanggungjawab sebagai presiden Kafa bukan sahaja perlu memiliki kewangan yang kukuh, malah beliau perlu mempunyai daya kepimpinan dan kreativiti untuk memajukan lagi sukan bola sepak negeri dengan menjalankan beberapa program pembangunan bola sepak seperti Piala Presiden dan Piala Kijang Mas.
Dalam tempoh tersebut, Kafa berjaya menangani masalah kewangan yang pernah dihadapi pengurusan sebelumnya dan kesemua keperluan kewangan seperti gaji pemain, bonus dan kebajikan pemain dan kakitangan berjaya diatasi.
Sehingga ke hari ini, Kafa tidak menghadapi masalah kecuali masalah kewangan yang lalu iaitu yang membabitkan tuntutan gaji dan bayaran EPF dan PERKESO yang tertunggak.
“Hanya sebahagian dapat diselesaikan. Tanggungan tersebut tidak dapat diselesaikan ekoran dokumen perjanjian yang tidak jelas dan pihak Kafa akan meneliti, mengkaji serta berusaha untuk menyelesaikan masalah ini secara baik,” katanya.
Untuk tujuan itu katanya, Kafa memerlukan kerjasama semua pihak agar masalah yang melanda dapat diselesaikan.
“Kafa tidak boleh mengikut apa yang dituntut tanpa usul periksa kerana jika tuntutan seperti itu dilakukan, pasti kami akan berhadapan dengan situasi tidak mampu untuk menghadapi liga yang dipertandingkan akan datang,” jelasnya.
Sehingga hari ini, satu-satunya punca kewangan Kafa secara tunai ialah melalui penjualan tiket di Stadium Sultan Muhammad ke-1V.
“Kita berterima kasih dengan sokongan peminat yang membanjiri stadium ketika perlawanan pasukan Pahlawan Merah beraksi di tempat sendiri dan berharap agar sambutan yang diberikan akan berterusan,” katanya.
Lebih penting Kafa perlu bergerak pantas mengikut jadual yang ditetapkan FAM, dan sekiranya masalah berbangkit tidak dapat diselesaikan mengikut waktu yang ditetapkan sudah tentu banyak lagi masalah akan berbangkit.
“Kejayaan Kafa hari ini, sebenarnya berkat kepimpinan Tan Sri Anuar Musa dan ahli majlis yang lain kerana banyak berusaha untuk mewujudkan atmosfera yang positif. Jika dilihat sebelum ini, kita tak pernah melihat budaya fanatik berlaku di negeri ini dan stadium di negeri lain juga tak pernah dipenuhi peminat.
“Tapi di Kelantan kita boleh tengok peminat Kijang sanggup mengorbankan wang ringgit membeli tiket dan juga jersi pasukan ini.
“Bukan itu sahaja kami turut mencipta rekod apabila peminat Kelantan membanjiri Stadium Bukit Jalil ketika perlawanan akhir menentang Selangor,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan