DUA gadis bersahabat baik dari Kota Bharu, Kelantan, Leeya dan Zoera, pergi melancong ke Perlis Indera Kayangan. Sedang mereka bersiar-siar di Kangar, tiba-tiba mereka berdua ditegur oleh seorang lelaki pertengahan umur.
Lelaki: Cik adik! Kopek jatuh!
Leeya berbisik kepada Zoera: Kurang ajar betoi orang tua tu… gatai! Aku dah pakai saiz yang betoi tadi, baru beli pulak tu.
Mereka berdua terus berjalan laju meninggalkan tempat itu. Lelaki itu juga kelihatan cuba mengekori mereka.
Lelaki: Ooi!, tunggu sat! Kopek ni, …tak mau ka?
Leeya: Jom cepat Zoera, orang gila agaknya tu. Dahlah cakap bukan-bukan, dia kejar kita pulak tu.
Selepas beberapa ketika lelaki terbabit tidak mengekori mereka lagi. Kedua-dua gadis terbabit singgah di sebuah gerai. Di gerai berkenaan, Leeya mendapati dompetnya hilang. Mereka mengambil keputusan untuk membuat laporan di balai polis.
Leeya: Saya nak buat report, beg duit saya hilang, sekali dengan lesen, kad ATM dan MyKad. Tak taulah, kena copet ke? Atau jatuh masa berjalan tadi.
Polis: Nak buat report kopek hilanglah ni ya?! Cik isi borang ni. Lain kali pegang elok-elok, kalau tak pun, bagi orang lain pegang.
Leeya: Maaf encik, encik kata apa tadi?
Polis: Saya kata tadi, kalau tak boleh jaga, bagilah orang lain pegang kopek tu. Biar dia yang simpan.
Leeya berbisik kepada Zoera: Pak Cik Polis ni pun sama. Tak padan dengan dah tua, nak menggatal lagi. Ada yang kena pelempang karang ni.
Zoera: Bagilah pelempang tu, tapi kalau kaumasuk lokap, aku tak nak jamin.
Setelah selesai mengisi borang, Leeya menyerahkannya kepada anggota polis yang bertugas itu dengan diiringi jelingan geram.
Polis: Oo! Ni Cik Leeya binti Azhar ya?! Tadi ada orang dah jumpa dan serah pada kami. Ni ha kopek Cik Leeya. (Sambil mengunjukkan dompet).
Leeya: Laa! Kopek tu dompet ke? Ingatkan benda tu tadi. Patutlah tadi ada orang terjerit-jerit sebut benda tu. Ingatkan orang gatal nak mengurat. Kesian abang bermisai tebal yang kejar kita tu tadi kan Zoera. Menyesal pula rasanya.
Kopek membawa tiga makna mengikut kawasan dan konteks penggunaan. Pertama bermaksud dompet duit atau uncang menyimpan duit. Penggunaan untuk maksud ini meluas di kawasan utara Semenanjung Malaysia yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara. Yang kedua pula bermaksud payu dara. Bagi maksud ini, ia digunakan secara meluas di negeri lain terutama Perak (kecuali Perak Utara) dan Kelantan. Dalam situasi formal dan dalam bentuk persuratan formal, perkataan ini tidak digunakan. Perkataan ini juga membawa makna ‘mengupas’, iaitu seperti mengupas kulit buah-buahan.
Nota kaki:
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).
Dipetik dari Berita Harian : 30 October 2008 (Khamis)
Kesimpulannya kena berhati-hati di jalanraya. Lain padang lain belalangnya. Jadi jgn terus melenting tapi berhenti sejenak untuk berfikir ggapo sebenar maksudnya...he he.
BalasPadamNota: TQ kerana link kan Keringat.