Sebuah nama yang sangat terkait dalam bidang penerbitan buku, majalah dan terjemahan di Kelantan pada dekad 1920an dan 1930an.
Lahir di Kota Bharu pada 1899, Ahmad bin Ismail (kemudiannya Dato' Lela Negara) hanyalah lulusan Darjah II Sekolah Melayu Kerajaan sebelum belajar bahasa Inggeris dengan seorang guru bangsa Ceylonese. Bahasa Arabnya juga diperoleh dengan cara belajar sendiri melalui rakan-rakan serta bantuan kamus-kamus yang sentiasa menjadi teman karibnya.
Tokoh yang sangat terpengaruh dengan Tok Kenali ini mula menceburkan diri dalam bidang penulisan apabila beliau menjadi anggota sidang pengarang al-Hidayah (Jun 1923) bersama-sama dengan Dato' Muhammad Ghazali Ariffin, Hassan Haji Omar, Haji Abdul Rahman Daud al-Makki, Muhammad Adnan Arifin dan lain-lain. Pada tahun 1929, beliau mengasaskan al-Matbaah al-Asasiyyah; mengurus percetakan sekaligus menjadi penerbit bagi buku-bukunya yang kebanyakan diterjemah atau disadur dari bahasa Arab (dengan latar belakang Mesir, Turki, Perancis dan Inggeris).
Pada waktu inilah terbit buku-bukunya seperti Tut Ankhamun (1929), Chogan Setia (1929), Pahlawan Perkasehan dan Peperangan (1930), Selamat Tinggal Ayuhai Timur (1931), Tarikh Perjalanan Mustaffa Kamal Pansha (1931), Puteri Mesir dengan Puteri Raja Rarina dan Rasputin (1935).
Pada tahun 1934, dengan dibantu oleh Abdul Kadir Adabi, beliau menerbitkan majalahnya yang sangat terkenal di Kelantan; al-Hikmah. Majalah ini mula tebrit pada April 1934 dan terhenti pada 1941 apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua. Selama memimpin majalah ini beliau banyak menterjemah cerita-cerita bersiri yang dimuatkan dalam al-Hikmah seperti Pundi-pundi Biru (1936), Kecenderungan Perempuan (1936-1937), dan Rahsia Kaseh (1938). Sayangnya siri-siri ini tidak sempat dibukukan.
Selain itu, pada tahun 1937 terbit pula saduran beliau yang paling terkenal - Kerana Mahkota.
Dato' Haji Ahmad bin Ismail adalah tokoh penulis, penterjemah dan penerbit majalah yang sangat berpengaruh di Kelantan pada tahun-tahun sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua, suatu kedudukan dengan reputasi tinggi yang kemudian hanya mampu diraih oleh seorang tokoh mutakhir selepas kemerdekaan - Dato' Yusoff Zaku Yacob.
Tokoh yang pernah dilantik menjadi Anggota Mesyuarat Majlis Agama Islam Kelantan pada dekad 1960an ini meninggal dunia pada 1969 di Kota Bharu.
Sumber : http://www.kelantan.edu.my/tokoh.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan